fbpx
Nasional

10 inisiatif Kerajaan Persekutuan pertahan keselamatan Sabah

MENTERI Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyenaraikan 10 inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan keselamatan Sabah terutama pencerobohan lalu.

Menurut Hishammuddin, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada pelbagai langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan keselamatan Sabah.

Beliau mengemukakan inisiatif berkenaan selepas Presiden Warisan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mempersoalkan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dalam menjaga keselamatan Sabah terutama daripada pencerobohan lanun.

“Semalam (Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal) beritahu media, beliau akur pendirian Kerajaan Persekutuan tidak mahu berunding dengan Kerajaan Filipina.

“Tetapi dalam akur, beliau persoal pula, apa tindak tanduk Kerajaan demi keselamatan Sabah. Saya hairan, yang suruh berunding, Shafie. Kerajaan Persekutuan memang dari awal tidak layan tuntutan karut ke atas Sabah,” kata Hishammuddin.


“Kalau Shafie hendak saya senaraikan semua memang banyak. Jadi, saya tulis sebahagian:

1. Tempatkan 13 Briged ESSCOM di Felda Sahabat
2. Bangunkan sebuah kem di Desa Kencana yang menempatkan 1 Batalion Infantri, unit logistik, unit Armor dan Pasukan Udara Tentera Darat.
3. Tubuhkan Markas Task Force 450 di Kota Belud
4. Tubuhkan 31 Briged Sempadan
5. Naiktaraf pos kawalan sempadan
6. Tambah pos kawalan di Tibau, Timbulan dan Luis
7. Aturgerak Berpuluh Aset Tentera Darat termasuk Lipan Bara, Gempita dan MIFV.
8. Bina Pangkalan Laut Tun Azizan dan Tun Sharifah Rodziah di Lahad Datu
9. Naik taraf Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar
10. Naik taraf Pangkalan Udara Labuan dan Lapangan Terbang Lahad Datu kepada Forward Operating Base.

Jelas Hishammuddin, banyak lagi yang telah dilaksanakan olehnya ketika beliau menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

Justeru Hishammuddin meminta Shafie menonton video empat tahun lepas yang merangkumi semua inisiatif khusus untuk Sabah semasa dia menjadi Menteri Pertahanan.

Sebelum ini Shafie berkata, adalah menjadi hak Kerajaan Persekutuan untuk tidak mahu berunding dengan kerajaan Filipina bagi menghentikan tuntutan negara itu terhadap Sabah.

Namun beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu mempertingkatkan keselamatan di Sabah.

“Jangan runding tapi pertingkatkan pertahanan dan sistem keselamatan di Sabah. Jangan janji ada batalion, ada bot tapi tiada diesel.

“Orang kita asyik kena lanun (culik), pertingkatkan keselamatan bagi membantu kita menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Jangan hanya pandai cakap.

“Minta (Filipina) supaya wujudkan konsul jeneral mereka di Sabah,” katanya ketika ditemui wartawan selepas Majlis Bersama Rakyat Kota Marudu, Di Dewan SDA Goshen baru-baru ini.

Katanya, Kerajaan Pusat perlu mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Malaysia.

“Mana mungkin setiap tahun kita kena lanun, mana mungkin orang kita asyik kena culik, kena bunuh.

“Insiden Tanduo satu contoh bagaimana kita pertahankan keselamatan negara. Mereka boleh cakap dan janji mahu hantar satu batalion.

“Tidak apa kalau tidak perlu ada rundingan..tidak perlu runding.

“Tapi kita kena tegas tapi jangan tegas, kita tidak boleh pertahankan nyawa rakyat kita. Mereka boleh cakap tapi rakyat saya (Sabah) yang hilang (nyawa),” jelasnya.

Pada 28 Ogos lalu, Shafie meminta kerajaan persekutuan berunding dengan Filipina bagi menghentikan isu tuntutan mereka terhadap Sabah.

Katanya, Filipina perlu diberi kefahaman jelas agar tidak timbul lagi isu tuntutan ke atas Sabah kerana kedudukan Sabah dalam Malaysia diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun Hishammuddin kecewa dengan pandangan Shafie itu kerana menurutnya berunding dengan Filipina seolah-olah mengiktiraf tuntutan tersebut.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button