Uncategorized

UPSI, Luncai Emas Meterai Memorandum Persefahaman (MoU) Bina Kerjasama Seni Persembahan

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited mencipta pelbagai peluang dan mencapai kejayaan di peringkat nasional mahupun antarabangsa, tanpa tertumpu kepada bidang pendidikan sahaja, malah seni muzik dan persembahan.

Sehubungan itu, UPSI menerusi Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Luncai Emas Sdn Bhd yang berlangsung di Panggung Budaya FMSP, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang mewakili UPSI berkata MoU antara kedua pihak memberi fokus terhadap pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar FMSP di Luncai Emas Sdn Bhd, perkhidmatan dan kerjasama dalam penghasilan karya seni serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang muzik.

“Aspek kerjasama ini selari dengan hala tuju UPSI untuk kekal berada di kelompok utama yang disegani, pelbagai skop kerjasama telah dirancang antara kedua-dua pihak sebagai satu usaha untuk mengetengahkan dan meningkatkan kualiti akademik dan kemahiran pelajar dalam bidang seni muzik dan persembahan, “ katanya.


Menurut beliau pada tahun ini, UPSI melangkah jauh dan berkembang pesat apabila berjaya berada dalam kelompok universiti terbaik di Malaysia.

Namun begitu, katanya, UPSI perlu terus memperkasakan langkahnya untuk memastikan matlamat yang digariskan dalam pelan strategik universiti dicapai dengan jayanya.

“Dalam bidang Muzik umpamanya, banyak kejayaan yang dicapai oleh pelajar UPSI di peringkat nasional mahupun antarabangsa selain kakitangan akademik FMSP yang menjadi pakar rujuk dari pihak industri,” katanya.

Katanya lagi, semua kejayaan dicapai berkat komitmen dan gabungan idea dan tenaga warga FMSP yang melibatkan pensyarah dan pelajar.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang, Mejar (B) Mohd Ramli Othman; Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Profesor Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Saearani serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan Shahril.

Luncai Emas Sdn Berhad yang diwakili Datuk (Dr) Mohamad Nasir Mohamed atau lebih popular dengan nama M. Nasir menyifatkan hubungan yang terjalin sejak 21 April 2016 bersama UPSI sebagai platform yang menyalurkan pengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik.

Antara program yang dilaksanakan, katanya, termasuklah Circle M, Pelancaran Album Spider, Latihan Industri serta latihan “hands on” konsert beliau sendiri.

“Saya percaya muzik tidak akan mati, cuma peredaran zaman yang menjadikan muzik digubah dan didagangkan mengikut corak masa kini yang bersesuian dengan kehendak dunia digital hari ini,“ katanya.

Muzik kita, katanya, sudah melangkaui dunia global dan banyak lagi yang boleh diterokai dan pada masa yang sama penjanaan pendapatan royalti daripada pelbagai media dan platform.

Beliau berkata kerjasama antara kedua pihak itu bakal merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai aktiviti serta pelbagai jenis kerjasama lagi pada masa yang akan datang.

“Diharapkan kerjasama dan semangat profesionalisme yang tinggi antara kedua-dua pihak, akan dapat memastikan aspirasi negara tercapai dalam membangunkan masyarakat berilmu yang akan dapat memacu negara mencapai matlamatnya seperti yang digariskan,” katanya.

(Visited 138 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button