Luar Negara

Trump masuk hospital

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tampil di khalayak ramai buat pertama kali semalam sejak beliau disahkan positif koronavirus (Covid-19), lima minggu sebelum Pilihan Raya Presiden AS 2020 berlangsung pada 3 November depan.

Bilionair hartanah tersebut yang memakai pelitup muka dilihat keluar meninggalkan Rumah Putih menuju ke helikopter rasmi presiden, Marine One sambil menunjukkan isyarat bagus ketika beliau mahu dibawa ke hospital tentera.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang luar biasa. Saya akan dirawat di Hospital Walter Reed. Saya dan Wanita Pertama berada dalam keadaan baik dan kami akan memastikan semua perkara berjalan lancar,” katanya menerusi rakaman video berdurasi 18 saat di Twitter.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar, Kayleigh McEnany memaklumkan Trump diberikan ubat antivirus, remdesivir atas nasihat pakar dan beliau juga tidak memerlukan bantuan oksigen tambahan.

“Pakar perubatan menyarankan Trump bekerja dari pejabat presiden di Walter Reed untuk tempoh beberapa hari akan datang. Keadaan beliau yang mengalami gejala ringan akan terus dipantau supaya ia tidak menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Terdahulu, doktor Rumah Putih, Sean Conley mengesahkan Trump turut diberikan dos tunggal koktel antibodi Regeneron, rawatan yang masih belum mendapat kelulusan pengawal selia perubatan.

Keputusan untuk merawat Trump di hospital di luar Washington tersebut dibuat selepas Presiden ke-45 AS yang berusia 74 tahun itu dikatakan 90 kali ganda berisiko meninggal dunia akibat komplikasi virus terbabit berbanding pesakit yang berumur antara 18 dan 29 tahun.

Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS juga mendapati lapan daripada 10 kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan di negara itu melibatkan pesakit berusia 65 tahun dan ke atas.

(Visited 62 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button