JenayahNasionalNegeri

Tekong, dua awak-awak ditahan cubaan seludup benih kerang

SEORANG tekong dan dua awak-awak ditahan ketika sedang melakukan kerja menangguk benih kerang secara haram di selatan Sungai Baru, Perlis.

Seorang tekong dan dua awak-awak ditahan dalam cubaan seludup benih kerang ke negara jiran. – Gambar Zon Maritim Kuala Perlis

Ekoran penahanan kesemua suspek ini oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis ini sekaligus berjaya mengekang benih kerang berkenaan dari diseludup ke negara jiran, Thailand.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, aktiviti ini telah dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia BENTENG 7 yang tiba di lokasi berkenaan semasa melakukan rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Perlis.

Beliau berkata, bot terbabit yang berpengkalan di Kuala Perlis itu didapati sedang melakukan aktiviti menangguk benih kerang secara haram.

“Bot terbabit dikemudikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berumur di antara 33 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga telah berjaya mengesan dan merampas sebuah sangkar siput yang telah ditinggalkan berhampiran lokasi tangkapan.

Katanya, ia berada pada kedudukan 0.54 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Kurung Tengar.

Sehubungan itu, katanya tekong awak-awak, bot, hasil tangkapan benih kerang dan sebuah sangkar siput yang dianggarkan bernilai lebih RM31,000 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Seorang anggota Zon Maritim Kuala Perlis menarik sebuah sangkar siput yang telah ditinggalkan berhampiran lokasi tangkapan. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (a) iaitu mana-mana orang yang mengusahakan apa-apa aktiviti penangkapan ikan, mengendali, atau membenar dikendalikan, di perairan perikanan Malaysia apa-apa vesel penangkapan ikan tempatan bagi maksud menangkap ikan tanpa lesen yang sah dan Peraturan 4 (1) (Peraturan-peraturan Perikanan Pemuliharaan Kultur Kerang 2002) iaitu larangan mengambil benih kerang atau kerang dewasa dari suatu tapak kerang semula jadi atau kultur melainkan jika diberi lesen mengambil kerang.

Manakala kes rampasan sangkar siput akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 11 (3) (c) iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.

Bot fiber yang digunakan bagi melakukan kerja menangguk benih kerang ditahan. – Gambar Ihsan Zon Maritim Kuala Perlis

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

BACA Benih kerang bernilai RM20,000 diselamat dari diseludup ke Thailand

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button