fbpx
Politik

Tanjung Piai: Ujian kepada pengundi Cina?

SUDAH tentu ramai orang Melayu dan Islam kecewa apabila BN meletakkan calon daripada MCA, We Jeck Seng sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai untuk mengalahkan calon Pakatan Harapan daripada Bersatu, Karmaine Sardini.

Ketika ini masyarakat tahu majoriti orang Melayu dan Islam tidak lagi bersemangat untuk bersama apatah lagi menyokong Pakatan Harapan.

Ini lebih-lebih lagi banyak tindak tanduk pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan yang mengguris perasaan masyarakat Melayu dan Islam terutamanya mengenai isu penolakan pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan sehinggakan tulisan warisan masyarakat pribumi itu seperti terhina di bumi sendiri.

Pengedaran komik propaganda di sekolah yang dikaitkan dengan bekas ahli DAP Hew Kuan Yau yang menonjolkan orang Melayu dan Islam di Malaysia sebagai radikal kerana menyokong masyarakat Islam Uighur yang ditindas oleh kerajaan China juga membangkitkan kemarahan masyarakat majoriti di negara ini.

Selain itu kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang memperlecehkan kempen BMF atau buy muslim first atau utamakan barangan muslim juga menyakitkan perasaan masyarakat Melayu Islam. Ketika ini kempen BMF masih lagi bersemarak dan tidak padam di media sosial.


Kecaman-kecaman yang maha dahsyat yang turut dilakukan oleh pemimpin Pakatan Harapan terhadap Kongres Maruah Melayu juga menimbulkan keresahan. Kemuncak keresahan itu adalah perlakukan biadap mahasiswa Universiti Malaya Wong Yan Ke yang memprotes kongres yang turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Graduan kejuruteraan awam tersebut mengeluar dan menayangkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya.

Keinginan kerajaan yang pada saat ini beriya-iya untuk menjual tanah orang Melayu di Kampung Baru iaitu satu-satunya perkampungan tradisi masyarakat Melayu di ibu negara juga mendatangkan perasaan kurang selesa kepada orang Melayu dan Islam di negara ini.

Isu-isu yang menyakitkan hati orang Melayu dan Islam itu dipendam oleh mereka ketika ini. Hanya pilihan raya menjadi tempat untuk mereka meluahkan segala kemarahan terhadap isu-isu yang dianggap meremehkan hak-hak mereka di bumi sendiri.

Jadi amatlah hairan oleh segelintir pihak mengapa Barisan Nasional meletakkan calon Cina sedangkan umum tahu jika BN meletakkan calon Melayu mudah sahaja kerusi itu dirampas oleh lebih-lebih lagi 52.11 peratus daripada 53,528 orang pengundi adalah orang Melayu.

Malahan pada saat ini penyatuan orang Melayu dan Islam pada tahap yang paling kukuh apabila Pas dan UMNO semakin serasi menjalinkan persahabatan bukan sahaja pada peringkat kepimpinan tetapi juga pada peringkat akar umbi.

Kesepakatan UMNO-Pas membuahkan hasil apabila mereka memenagi beberapa siri PRK sebelum ini termasuk di PRK Parlimen Cameron Highlands dan PRK DUN Rantan.

Apa yang nyata, bukanlah kesetiaan undi orang Melayu dan Islam terhadap Barisan Nasional yang akan diuji di Tanjung Piai tetapi arah mana sokongan pengundi masyarakat Cina yang berjumlah 46.5 peratus itu.

Dengan meletakkan calon Cina masihkah masyarakat Cina menolak BN dan terus menyokong Pakatan Harapan seperti yang telah mereka lakukan pada pilihan raya-pilihan raya sebelum ini? Sudah tentu PRK Tanjung Piai menjadi ujian yang nyata buat pengundi Cina.

Justeru, yang akan berdebar pada PRK Tanjung Piai ini bukanlah hanya BN tetapi juga Pakatan Harapan. Setiakah lagi pengundi Cina pada Pakatan Harapan? Jika pengundi Cina masih setia kepada Pakatah Harapan apa yang perlu BN lakukan selepas itu? – SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button