Politik

Strategi letak dua bekas pemain bola sepak menjadi

Dua bekas pemain bola sepak negara Baddrol Bakhtiar dan Muhamad Radhi Mat Din yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang diadakan hari ini.

Baddrol yang merupakan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun dengan memperoleh sebanyak 17,771 undi.

Bekas pemain tengah skuad Harimau Malaya berusia 35 tahun itu, mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.

Sementara itu, Muhamad Radhi yang merupakan legenda bola sepak Kedah, mengalahkan Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu, dengan majoriti 10,104 undi.

Muhamad Radhi memperoleh 18,936 undi, manakala Mahfuz yang juga Naib Presiden Amanah meraih 8,832 undi.

Muhamad Radhi sebelum ini pernah membuat kemunculan sulung di pentas politik pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, namun kalah ketika bertanding atas tiket Parti Islam Se-Malaysia (PAS), di Parlimen Pokok Sena.

— BERNAMA

(Visited 347 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button