KemalanganNasional

Stesen minyak Petronas dirempuh kereta dipandu warga emas 69 tahun

Sebuah stesen minyak Petronas di Bukit Rambai, Melaka  gempar apabila dirempuh sebuah kereta jenis Hyundai Sonata warna kelabu yang dipandu seorang warga emas berusia 69 tahun.

Ini merupakan kejadian kedua dialami oleh premis berkenaan tidak sampai setahun apabila stesen minyak yang sama dirempuh sebuah Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun Julai tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pukul 7.00 petang itu, warga emas yang bekerja sebagai pesawah padi itu bersama dua cucunya mengisi minyak di stesen berkenaan.

Kereta Hyundai Sonata remuk selepas seorang warga emas tertekan pedal minyak apabila memasuki gear D.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati warga emas itu didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Beliau berkata, selepas mengisi minyak lelaki berkenaan secara tidak sengaja tertekan pedal minyak semasa memasuki gear D lalu kenderaan itu tidak dikawal sebelum merempuh kedai serbaneka di stesen itu.

“Kereta berkenaan merempuh cermin di bahagian sebelah kanan menyebabkan pelbagai jualan barangan bertaburan di atas lantai.

“Lima panel cermin berkecai akibat rempuhan itu manakala bahagian depan kereta pula remuk.

“Warga emas serta dua cucunya berusia 12 dan 13 tahun mengalami kecederaan ringan telah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pada 19 Julai 2022, Utusan Malaysia melaporkan, stesen minyak sama dirempuh sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun, dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.

Kereta berkenaan bergerak laju, lantas merempuh tiga cermin stesen minyak itu serta merosakkan beberapa barangan jualan seperti beras, makanan kucing dan beberapa produk lain.

Tambah Christopher, insiden tersebut telah dilaporkan oleh pengurus stesen minyak itu Sharif Puteh, 51, tahun dan kejadian itu tidak melibatkan kecederaan kepada orang awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stesen minyak berkenaan beroperasi seperti biasa manakala kerosakan di lima panel cermin yang berkecai ditutup dengan dinding zink. – SM

BACA Stesen minyak komersial bakal diperluas di negeri bersempadan

(Visited 171 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button