Hiburan

Shuib tak perlu bagi alasan pilihan mak kalau sudah jodohnya dengan Wan Sharmila

SETAHUN pemergian Allahyarham Siti Sarah Raisuddin meninggalkan empat orang cahaya mata akibat Covid-19, desas-desus kedengaran, suami arwah, pelawak dan usahawan Shuib, 38, akan berkahwin dengan aktres Wan Sharmila.

Kalau sudah sampai jodoh dan Wan Sharmila Wan Muhamed, 41, adalah jodoh buat Shuib, tiada salah, tiada cacat celanya dan tidak timbul kata-kata yang kurang enak didengar di halwa telinga.

WAN SHARMILA

Wan Sharmila sebagai artis, rekodnya agak bagus. Dia tidak banyak songeh, mulut tak laju atau lancang dan dia bekerja sebagai seorang pelakon.

Mungkin nama Wan Sharmila tidak hangat dan sebaris dengan aktres-aktres lain yang panas dipalit dengan gosip ataupun bergaduh sana sini, kriteria sebagai seorang isteri, lebih-lebih lagi sebagai seorang ibu, memang ada dalam dirinya.

Memang bukan mudah menjadi ibu kepada anak-anak ‘pasang siap’ kerana peranan untuk memujuk dan mengasihi anak-anak seperti anak sendiri perlu terbit dari hati Wan Sharmila.

Kita tidak mahu sekadar berkahwin dengan bapa, anak-anak tolak ke tepi atau pun membezakan antara anak-anak tiri dengan anak sendiri, jika dikurniakan zuriat nanti.

Ini bukan zaman mak tiri-anak tiri dahulukala. Zaman sudah berubah dan kalau sudah sampai jodoh di antara Shuib dan Wan Sharmila, kita pakat-pakat memanjat doa agar ikatan perkahwinan mereka sehingga ke jannah.

Anak-anak arwah Siti Sarah memerlukan sentuhan dan belaian kasih seorang ibu. Apatah lagi si bongsu yang tidak mengenali dan merasai kasih sayang daripada seorang ibu.

Bakal isteri Shuib hendaknya mengasihi anak-anak ini dan curahkan kasih sayang terhadap mereka yang masih kecil lagi.

Sekiranya Shuib merasa malu atau segan untuk menikah sekali lagi, dia sebenarnya tidak perlu berasa seperti itu.

Perkahwinan Shuib kali ini selepas ketiadaan arwah, bukan atas landasan hawa nafsu sebaliknya kehadian sang isteri adalah pelengkap dalam sebuah rumah tangga.

Pertimbangan yang sewajarnya adalah demi kebahagiaan anak-anak yang memerlukan bimbingan dan didikan.

Sekiranya jodoh ada di antara Shuib dan Wan Sharmila, adalah lebih manis ikatan itu nanti dengan restu daripada ibu Shuib dan keluarga daripada kedua-dua belah pihak.

Ini bukan soal menantu pilihan ibu mertua sebaliknya menjadi menantu, isteri dan ibu kepada anak-anak arwah Siti Sarah.

Untuk rekod, arwah Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.

Catatan ini sekadar apa yang didengar tentang hubungan Shuib dan Wan Sharmila… apapun, tepuk dada, tanya selera kerana ajal maut, jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan.

Sebagai hambaNYA, kita hanya mampu merancang, Allah yang menentukan dan perancang sebaik-baiknya ialah Allah SWT. – SM

(Visited 725 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button