Jenayah

Sepasang suami isteri ditahan guna sijil vaksin palsu

MELAKA 13 Jan. – Polis berjaya menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri selepas disyaki membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supretenden Arshad Abu berkata, ketiga-tiga mereka berusia antara 33 hingga 58 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)
Melaka.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu ditahan ekoran aduan daripada seorang pegawai tadbir Jabatan Awam Negeri Melaka terhadap dua kakitangan jabatan yang sama mempunyai aplikasi MySejahtera berstatus vaksin lengkap dua dos yang dicurigai palsu.

“Hasil semakan daripada Klinik Kesihatan Rembia mengesahkan kedua-dua suspek itu tidak pernah menerima sebarang vaksin dan pengadu merasakan mereka telah menipu pihak jabatan dalam memalsukan dokumen
MySejahtera.

“Bertindak daripada aduan tersebut, JSJK berjaya menahan pasangan suami isteri itu termasuk seorang lelaki yang bertugas di jabatan yang sama apabila bertindak sebagai orang tengah sewaktu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Selasa lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan kata Arshad, pasangan suami isteri itu telah mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah dengan bayaran sebanyak RM500 seorang.

Menurutnya lagi, lelaki yang menjadi orang tengah itu mengaku telah mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos itu daripada seorang lagi suspek yang masih bebas dan hanya dikenali sebagai Vnilai.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 KPJ selama tiga hari berakhir hari ini namun polis akan memohon untuk lanjutan reman tersebut esok.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabitan kesalahan boleh dihukum penjara mininum 1 hingga 10 tahun, denda dan sebatan.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button