Nasional

Rosmah didakwa arah peguam kemuka soalan bersifat peribadi kepada saksi

KUALA LUMPUR, 19 Feb  — Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor agar tidak mengemukakan soalan bersifat peribadi secara mendalam kepada saksi keenam pendakwaan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendengar beberapa soalan daripada peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang dikemukakan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 63.

Terdahulu, Akberdin menyoal Madinah mengenai keakraban dan perbualan beliau dengan isteri bekas perdana menteri itu semasa satu lawatan rasmi ke Los Angeles beberapa tahun lepas.

“Saya mendapat arahan daripada anak guam saya untuk bertanyakan soalan ini kepada Tan Sri,” katanya.

Mohamed Zaini kemudian mencelah dan bertanyakan kerelevanan soalan yang dikemukakan kepada Madinah tetapi Akberdin memaklumkan bahawa beliau akan menjelaskan perkara itu kemudian.

Peguam itu kemudian terus menyoal saksi secara terperinci mengenai perbualannya dengan Rosmah dan berkata bahawa beliau tidak berniat untuk memalukan Madinah tetapi terpaksa mengemukakan soalan tersebut berdasarkan arahan anak guamnya.

Pada peringkat ini, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan mencelah dengan menyatakan bahawa Akberdin sedang memalukan Madinah dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib turut mengemukakan bantahan berhubung perkara itu.

Merujuk beberapa seksyen dalam Akta Keterangan, Ahmad Akram meminta hakim melarang sebarang soalan yang berniat untuk memalukan dan tidak relevan dengan pertuduhan terhadap Rosmah.

Bagaimanapun, Akberdin mempertahankan soalan-soalan itu atas alasan bahawa beliau hanya ingin menunjukkan bahawa hubungan Madinah dan Rosmah adalah rapat.

Mohamed Zaini menyarankan agar Akberdin mengubah soalan dan mengingatkan beliau untuk tidak menyoal saksi terlalu mendalam.

Hakim itu juga memerintahkan agar soalan bersifat peribadi yang dikemukakan Akberdin sebelum ini dipadam dan mengarahkan petugas media untuk tidak melaporkannya.

Akberdin mengubah soalan dan bertanya sama ada Madinah pernah membincangkan masalah peribadinya dengan Rosmah dan saksi itu menjawab ya.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor, sebagai pertukaran bagi membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tiga lokasi iaitu Lygon Cafe di Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini dan Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Precinct 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Terdahulu, ketika disoal Akberdin mengapa beliau tidak mengambil inisiatif membuat temu janji untuk berjumpa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjelaskan sebab projek solar hibrid tidak patut dilaksanakan, Madinah yang bersara pada 2 Sept 2016, berkata beliau tidak dapat berbuat demikian ketika itu.

Akberdin: Lepas itu kamu ada cuba lagi berjumpa (bekas) perdana menteri dan kamu kena jumpa sampai kamu dapat jumpa beliau.

Madinah: Sebagai penjawat awam, KSU (Ketua Setiausaha Negara) dan pegawai pengawal kita ada hierarki. Saya telah maklumkan menteri (bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid) perkara-perkara yang menyukarkan pelaksanaan projek solar itu dan menteri maklumkan akan sampaikan isu-isu berkenaan kepada perdana menteri, jadi bukanlah tempat saya untuk melangkau menteri dengan berjumpa perdana menteri.

Akberdin: Saya cadangkan walaupun (bekas) perdana menteri keluarkan dua minit mengarahkan pelaksanaan projek solar itu, tetapi sebagai pegawai pengawal anda tidak perlu mematuhinya sebab arahan itu tidak betul.

Madinah: Dalam keadaan ini, tidak betul.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button