Politik

Lim Guan Eng tidak pengerusikan mesyuarat Tabung Haji

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini, menafikan sekerasnya penularan gambar menunjukkan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut kenyataan Pejabat Menteri (Agama), gambar yang tular itu adalah salah satu sesi kunjung hormat yang dilakukan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bersama Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM dan Pengarah Bahagian Maqasid Syariah JAKIM.

“Ia bertujuan memberi penerangan tentang gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa pentadbiran Islam pada hari ini.

“Kunjungan tersebut diadakan pada 18 Februari lalu dan tuduhan yang dibuat sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

“Ingin ditegaskan, menurut Akta Tabung Haji 1995, Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukannya Menteri Kewangan,” jelas kenyataan itu.

Katanya, penyebaran gambar tersebut dilihat disengajakan yang bertujuan sempit bagi menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini.

“Satu laporan polis telah pun dibuat oleh Pegawai Tugas-tugas Khas II, Encik Ali Muda ekoran penularan gambar tersebut,” katanya.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang penularan berita palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Kerajaan dikritik kerana gagal mengendalikan Tabung Haji sehingga menyebab aset-aset agensi berkenaan telah dijual dengan alasan bagi memulihkan institusi berkenaan.

Mujahid pula dituduh bertindakan dibawah telunjuk Guang Eng bagi menghancurkan semua kepentingan umat Islam.

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button