Ekonomi

Ringgit melonjak berbanding Dolar AS pada sesi pembukaan

RINGGIT dibuka tinggi sedikit berbanding Dolar AS pada sesi pembukaan pagi ini (18 Mei) seiring dengan prestasi Yuan China berikutan perkembangan positif di Shanghai, kata seorang penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3840/3890 berbanding Dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.3880/3915.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata Yuan mengukuh di tengah-tengah sentimen pengambilan risiko selepas Shanghai menyasarkan untuk membuka semula perniagaan dalam tempoh masa dua minggu akan datang, melonjakkan Ringgit dan proksi pertukaran asing serantau China yang lain.

Shanghai telah mencapai status sifar Covid di seluruh daerahnya dan bandar itu dijangka dibuka secara beransur-ansur, menyasarkan untuk meneruskan kehidupan normal menjelang 1 Jun akan datang.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peningkatan sedikit Ringgit turut disokong oleh perkembangan dalam sektor teknologi China.

“Pihak berkuasa China nampaknya memberi lebih kelonggaran dalam sektor teknologi selepas lebih setahun industri berhadapan tekanan.

“Ini boleh memberi sedikit harapan kepada industri, di samping kelonggaran lanjut mengenai langkah menangani Covid-19, di Shanghai.

“Secara ringkasnya, pasaran kelihatan tenang dan terbuka, sekali gus membuka jalan kepada beberapa peluang pembelian dalam aset berisiko seperti ekuiti,” katanya.

Ringgit, bagaimanapun, kebanyakannya diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia jatuh berbanding Dolar Singapura kepada 3.1651/1690 daripada penutup Selasa 3.1643/1671 dan susut berbanding Euro kepada 4.6273/6326 daripada 4.5969/6005.

Mata wang tempatan juga susut berbanding Pound Britain kepada 5.4743/4805 daripada 5.4653/4696 pada Rabu dan sebaliknya mengukuh berbanding Yen Jepun kepada 3.3911/3952 daripada 3.3939/3969. – SM

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button