Ekonomi

GKP 4.0 kepada lebih 1 juta PKS mikro dibayar Selasa ini

Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro akan mula dibayar Selasa ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan berjumlah RM500 juta itu akan memberi manfaat kepada lebih satu juta PKS mikro.

Bantuan berjumlah RM1,000 kepada setiap PKS mikro di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) itu bertujuan meringankan beban kewangan pengusaha terbabit dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

“Bayaran GKP 4.0 akan dibayar dua kali iaitu pada September 2021 berjumlah RM500 dan November 2021 RM500.

“Inisiatif ini melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0, dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.


Pembayaran bantuan akan dikreditkan terus ke akaun bank PKS mikro yang didaftarkan dalam sistem GKP.

Ismail Sabri berharap, berharap bantuan tersebut dapat menggerak dan memulihkan kembali sektor PKS yang disifatkan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan memberi keutamaan kepada pemain industri ini kerana mereka merupakan antara sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

“Semoga dengan bantuan ini, peniaga kecil seperti pemilik gerai makanan, kedai gunting rambut, bengkel dan kedai kek dapat mengurangkan beban dan membantu aliran tunai,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih satu juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah bernilai RM6.08 bilion.

Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 20 September 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my. – SM

(Visited 87 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button