NasionalNegeri

Raja Perlis harap pelabur dalam, luar suburkan sektor pelancongan negeri

RAJA Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berharap para pelabur baik dari dalam mahupun luar supaya menyuburkan lagi sektor pelancongan di Perlis termasuk bidang perhotelan.

Terdapat banyak perubahan sedang berlaku di Perlis masa kini di mana perlu diperhebatkan lagi kemajuannya terutama dalam pembangunan fizikal dan infrastruktur.

Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid menghadiri Majlis Santapan Malam Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDDPs) 2022 sempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis ke-79 di Taming Sari Grand Ballroom Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail diraikan pada Majlis Santapan Malam Jemaah Dato’-Dato’ Perlis (JDDPs) 2022 sempena Sambutan Ulangtahun Keputeraan Baginda ke-79 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam semalam.

Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung DiRaja JDDPs dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua Baginda, Sharifah Farah Adriana Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menyambut keberangkatan tetamu diraja ke majlis yang dihadiri 440 orang tetamu itu ialah Presiden Jemaah, Mejar Jeneral (B) Datuk Husin Md Tahak dan Timbalannya, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Ts Kamarudin Hussin serta barisan Jawatankuasa Jemaah Dato’-Dato’ Perlis bagi penggal 2022-2025 yang baru sahaja dipilih pada 18 Mei baru-baru ini.


Di majlis tersebut Tuanku Raja Perlis yang juga merangkap Tuanku Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) dipersembahkan dengan nombor pendaftaran plat kenderaan khas ‘USM 1’ daripada Pro Canselornya, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Prof Datuk Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Turut diadakan ialah penyampaian sumbangan bernilai RM25,000 untuk aktiviti JDDPs daripada pihak HR Group of Companies yang diwakili oleh Shafiq Hizwari, Faizuddin Centre of Excellence (FCOE), Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diwakili Kamarudin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 untuk Program Kecemerlangan Pendidikan JDDPs kepada para pelajar dari kalangan asnaf dan B40.

Terdahulu Husin dalam ucapan memaklumkan JDDPs dengan slogannya iaitu ‘Bersedia, Bersatu Dan Berbakti’ mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan yang budiman untuk menyokong pelbagai inisiatif JDDPs khususnya dalam membantu mereka yang memerlukan selain memperteguhkan institusi DiRaja Wangsa Jamalullail Perlis. – SM

(Visited 50 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button