Politik

PRN Melaka: Saya bukan dalang – Rauf

PENGERUSI UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan beliau adalah dalang di belakang Ketua Menteri sebelum ini, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf turut menegaskan tohmahan itu hanya bertujuan mengalih perhatian daripada krisis politik di negeri itu baru-baru ini.

Sulaiman Md Ali

Dalam temu bual dengan portal berita FMT, beliau juga menafikan tuduhan kononnya wujud perumpamaan “dua singa di atas bukit” dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di negeri itu seperti didakwa bekas Ketua Menteri Idris Haron.

Rauf berkata, beliau dan Sulaiman telah menggariskan sempadan persefahaman selain sedar kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan sendirinya sekiranya ada campur tangan luar.

“Jadi secara kebetulan, waktu dan ketika ini saya adalah Pengerusi UMNO Melaka yang mengurus tadbir hal ehwal politik,” katanya.

Beliau berkata, kebersamaan ini dilihat seolah-olah wujud campur tangan antara nya dan Ketua Menteri.

“Pada hakikatnya, ia tidak berlaku sedemikian. Sebagai seorang yang berpengalaman mengatur pentadbiran negeri, Ketua Menteri tahu bagaimana untuk mengurus kerajaan.

“Jadi saya rasa tohmahan ini adalah untuk mengelak daripada isu sebenar yang berlaku. Krisis politik di Melaka ini adalah akibat daripada kehendak Idris untuk menjadi Ketua Menteri sekali lagi,” jelas Ab Rauf.

Beliau mendakwa Idris mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat Melaka selain menjelaskan tidak ada urusan dalam kerajaan negeri yang harus mendapatkan kelulusan daripada seorang ketua parti.

Idris Haron

“Semua yang dikatakan Idris adalah tidak betul. Mengapa saya perlu memberi respons kepada perkara yang tidak betul?

“Bagi saya, Idris Haron tidak lagi menjadi isu politik kepada kami. Beliau pun sudah beralih arah dan duduk dalam sebuah parti yang menentang perjuangan UMNO,” jelasnya.

Idris adalah calon PKR yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.

Kata Ab Rauf lagi, beliau tidak mahu mengulas lebih untuk mempertahankan diri daripada tohmahan ini.

Katanya, beliau juga tidak mempunyai masalah dengan keputusan kepimpinan UMNO menamakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri sekali lagi kerana dirinya adalah orang parti dan sentiasa akur dengan keputusan parti.

“Terserah kepada kebijaksanaan pimpinan untuk mengaturkan bagaimana kerajaan ini mesti diurus tadbir. Sebagai ahli parti, kita kena terima kenyataan ini,” kata beliau.

 

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button