Ekonomi

Prestasi Petronas terjejas ekoran impak Covid-19

PETRONAS Dagangan Berhad (Petronas) tidak terkecuali dalam mengalami impak pandemik Koronavirus (Covid-19) apabila keuntungan bersihnya jatuh.

Catatan keuntungan bersihnya merudum kepada RM3.51 juta dalam suku kedua tahun ini yang berakhir 30 Jun lalu.

Jurang penyusutan itu ketara berbanding tahun lalu apabila keuntungan yang direkodkan dalam tempoh sama ketika itu adalah RM172.75 juta.

Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan, oeprasi syarikat itu terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

Malah dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, hasil kumpulan turun sebanyak RM4.67 bilion kepada RM2.93 bilion daripada RM7.6 bilion.

Hal demikian disebabkan penurunan kuantiti jualan sebanyak 39 peratus dan purata harga jualan rendah sebanyak 37 peratus.

Sementara itu, kerugian bersih yang dicatatkan Petronas bagi tempoh enam bulan adalah RM25.91 juta berbanding RM463.94 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Manakala hasil pula berjumlah RM9.48 billon berbanding RM14.69 bilion.

“Syarikat terus berdepan keadaan pasaran yang mencabar pada Suku Kedua 2020 disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

“Ini membawa kepada pengurangan kuantiti jualan dan hasil syarikat.

“Terutamanya daripada tempoh pertengahan Mac hingga April 2020, dengan pemulihan perlahan-lahan pada awal Mei 2020 dan seterusnya”

Demikian kenyataan Petronas seperti dipetik laporan Bernama semalam.

Dalam pada itu, Petronas turut memaklumkan kemerosotan permintaan minyak petrol dan diesel itu juga sejajar dengan penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

KDNK dilaporkan menguncup 17.1 peratus berbanding pertumbuhan 0.7 peratus pada Suku Pertama 2020.

“Penutupan perniagaan pembuatan barangan bukan penting dan pembinaan telah menjejaskan permintaan diesel komersial,” jelasnya.

Katanya lagi, permintaan terhadap bahan api komersial terus terjejas oleh sekatan perjalanan global.

Harga purata Brent pada Suku Kedua 2020 turun sebanyak 41.5 peratus kepada Dolar Amerika Syarikat (AS) $29.20 (RM121.84) setong.

Daripada Dolar AS $50.26 (RM210.09) pada Suku Pertama 2020, dan harga itu dijangka kekal tidak menentu.

Oleh demikian, Petronas optimis pelonggaran PKP yang dilaksanakan kerajaan mampu memacu operasinya ke arah yang lebih baik susulan beberapa sektor perniagaan kembali beroperasi. – SM

(Visited 762 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button