Ekonomi

Sarawak nafi “sakau” Petronas

BETONG, 5 Jun: Sarawak tidak mengambil hak atau menguasai pengurusan minyak dan gas Petronas, tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, Sarawak berpegang kepada peruntukan dalam Perlembagaan iaitu Jadual 9 Bahagian 5, dengan menggunakan haknya untuk mencari pendapatan menerusi pelaksanaan cukai jualan.

“Orang mula mengatakan tidak lama lagi Sarawak hendak menguasai semua hal berkaitan minyak. Bukan saya mengambil hak Petronas, saya tidak mengambil hak PDA (Akta Pembangunan Petroleum). Saya pun tahu mengambil hak orang itu berdosa.

“Undang-undang telah kita luluskan, kita sudah ada kuasa menguruskan gas. Pengedaran gas di Sarawak kini diuruskan oleh PETROS (Sarawak Petroleum Berhad) bukan lagi Petronas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Betong 2024  di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini, lapor TVS.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, undang-undang pengagihan gas itu juga sebelum ini telah wujud sebelum penubuhan Malaysia.

“Pengagihan gas itu, kita sudah ada undang-undang sebelum penubuhan Malaysia lagi kerana di Miri sebelum ini sudah ada gas paip ke rumah. Maknanya, kita sudah pun ada undang-undang,” katanya lagi.

Jelas Abang Johari, dengan membangunkan industri minyak dan gas secara teratur dan tersusun, Sarawak berjaya merekodkan pendapatan mencecah RM13 bilion pada tahun lalu. –TVS

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button