Nasional

Polis beri amaran dan pantau masjid tidak patuh SOP di Perlis

Polis sudah mengenal pasti masjid di negeri ini yang membenarkan anak kariahnya menunaikan solat berjemaah di masjid tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata pihaknya sudah menemui pengurusan kariah berkenaan bagi mendapatkan penjelasan mengenai ketidakpatuhan terbabit.

Katanya, bagaimanapun tiada tindakan tegas ke atas pengurusan masjid, sebaliknya hanya amaran tegas diberi terhadap pihak pengurusan susulan tindakan itu.
“Perkara ini bukan berlaku di semua masjid, hanya ada beberapa sahaja yang bertindak memberikan sejadah kepada anak kariah yang tidak membawanya dengan alasan untuk memberi peluang jemaah bersolat.
“Kita memang ada senarai masjid terbabit (membenarkan jemaah langgar SOP), amaran juga sudah dikeluarkan dan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAIPs) turut dimaklumkan bagi langkah susulan diambil ke atas pengurusan,” katanya lapor Berita Harian.
Mengulas mengenai tindakan lanjut yang bakal diambil, Surina berkata, anggota polis akan memantau masjid terbabit dari semasa ke semasa khususnya ketika solat Jumaat.
“Memang polis ada pasukan pemantau masjid di setiap kariah, kita akan menggiatkan lagi usaha dan selepas ini tindakan yang lebih tegas akan diambil.
“Teguran ke atas masjid berkenaan juga sudah dibuat Raja Perlis dalam titahnya semalam, jadi kita akan pastikan ia tidak berulang atau tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Semalam, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menzahirkan rasa kecewanya apabila terdapat segelintir kariah yang bertindak menyediakan sejadah dan pelitup muka kepada jemaah, namun ia tidak diuruskan dengan betul selepas digunakan.
Baginda yang bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis, turut menegur jemaah yang tidak melakukan penjarakan fizikal yang betul ketika melaksanakan solat berjemaah khususnya ketika solat Jumaat.
(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button