Nasional

Japen aktifkan PPM bagi memudahkan liputan media

Jabatan Penerangan (Japen) telah mengaktifkan sebanyak 14 pusat media maya (PPM) mulai 3 Nov sehingga hari pengundian pada Sabtu.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat Japen Datuk E Sivabalan berkata PMM, inisiatif Bahagian Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, adalah platform untuk menyalurkan maklumat dengan lebih mudah dan berkesan kepada media untuk mendapatkan liputan sepanjang tempoh kempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, maklumat yang dikongsi melalui kumpulan WhatsApp adalah berkaitan jadual kempen calon daripada semua parti yang bertanding pada pilihan raya umum.

“Kami menjemput semua wakil media dan wakil penerangan parti seperti Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Pejuang Tanahair dan parti lain serta calon bebas untuk berkongsi jadual semasa tempoh berkempen.

“Wakil daripada Suruhanjaya Pilihan Raya juga dijemput untuk berkongsi segala maklumat berkaitan PRU15 kepada media untuk hebahan umum,” katanya kepada Bernama hari ini.


Sivabalan berkata pusat media maya itu dilihat lebih berkesan berbanding pusat fizikal, yang ditubuhkan semasa pilihan raya umum sebelum ini.

“Semua pihak yang terlibat khususnya media mengalu-alukan dan bersetuju dengan penubuhan PMM kerana ia lebih fleksibel dan cepat dalam mengumpul maklumat dan sebagainya,” katanya.

 

(Visited 20 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button