Nasional

Pensyarah baharu UPSI bakal ikuti program orientasi sekolah

SERAMAI 27 pensyarah baharu UPSI bakal mengikuti program penempatan di sekolah selama dua bulan bagi memperkasa pembudayaan di sekolah, melengkapkan pengetahuan baharu serta kemahiran berkaitan pendidikan di peringkat sekolah.

Program penempatan di sekolah yang dikenali sebagai Program Orientasi Sekolah atau POS itu merupakan satu komponen dalam Kursus Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran Pensyarah Baharu UPSI. Semua pensyarah baharu UPSI perlu melengkapkan kursus ini sebagai salah satu syarat pengesahan jawatan kakitangan akademik.

Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (A&A), Pendaftar bersama peserta Program Orientasi Sekolah

Melalui program ini, pensyarah dapat memahami tugas guru, tingkah laku pelajar, suasana dan pengurusan sekolah, bilik darjah, pengurusan pengajaran, proses penyepaduan teori dan praktikal, amalan-amalan pengkaedahan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran menerusi pemerhatian, interaksi dan refleksi. Selain itu pensyarah dapat mengenali dengan lebih dekat peranan seorang guru dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah bagi memudahkan pensyarah menjalankan penyeliaan latihan mengajar dengan lebih efektif.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff sewaktu memberi taklimat kepada semua pensyarah baharu yang bakal mengikuti program POS berharap agar pensyarah-pensyarah berkenaan menjadi Duta UPSI dalam menawarkan bantuan atau perkhidmatan kepada sekolah.

Peserta sewaktu mendengar taklimat oleh Naib Canselor

“Adab sebagai orang ke tempat baharu perlu menghormati budaya kerja sedia ada dan berlapang dada untuk belajar perkara-perkara baharu dan sepanjang program berjalan pangkat dan ego diketepikan, fokus kepada apa sumbangan yang boleh diberikan kepada sekolah-sekolah ini, “ katanya.

Beliau berkata sebilangan besar pensyarah yang terlibat tidak pernah menjadi guru dan pernah bekerja di sektor swasta. Justeru, penempatan di sekolah dapat membuka peluang meneroka peluang penyelidikan di samping menimba pengalaman baharu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Marzita Puteh yang turut hadir dalam sesi taklimat ini turut memaklumkan POS akan ditambah baik dari masa ke semasa bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat. Beliau juga bersetuju dengan cadangan supaya program ini diperluaskan kepada pensyarah-pensyarah lain yang bukan dalam bidang pendidikan.

Peserta dan Penceramah dalam Kursus dalam Kursus Pensijilan Pengajaran dan Pembelajaran Pensyarah Baharu UPSI

“Sebagai Universiti dengan legasi ulung dan niche pendidikan, setiap pensyarah di UPSI sama ada mereka yang bukan ikhtisas Pendidikan atau yang telah berkhidmat di mana-mana peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, adalah perlu untuk memperlengkapkan diri dengan perkembangan semasa Pendidikan, berikutan graduan UPSI majoriti bakal bergelar guru,” katanya.

Program ini juga, katanya, merupakan jambatan antara universiti dan masyarakat terutama pihak Sekolah. Setiap pensyarah yang ke program POS akan bertindak sebagai duta dalam mempelajari persekitaran sekolah serta membantu pihak sekolah dalam segenap segi sama ada dari aspek inovasi PdP, program khidmat masyarakat atau program seperti ceramah dan sebagainya.

Oleh itu, diharapkan penempatan POS ini akan menjadi kekuatan pensyarah UPSI dari aspek mengenal dan menimba pengalaman dengan persekitaran dan budaya di sekolah dan seterusnya melahirkan generasi anak bangsa yang holistik dan madani. -SM

Baca : MPP UPSI sedia makanan percuma sempena minggu peperiksaan akhir diploma

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button