Politik

Pembangkang mula cipta citra buruk terhadap pemimpin UMNO

PEMBANGKANG menang pada pilihan raya lalu adalah dengan fitnah dan citra buruk akhirnya membentuk persepsi negatif masyarakat terhadap pemimpin kerajaan.

Baru beberapa hari kehilangan kuasa, mereka kembali kepada kerja yang mereka sangat mahir iaitu memanipulasi fakta dan sangat berkesan apabila berada di kerusi pembangkang.

Semasa di dalam kerajaan mereka cuba memanipulasi dan memutar belit pelbagai fakta, tetapi mereka gagal segagal gagalnya.

BACA: Hakim terima permohonan maaf Ahmad Zahid, tiada unsur hina mahkamah

Tentera siber mereka kini bertebaran di serata pelosok media sosial dan disokong portal-portal berita menjadi penyokong tegar serta sisa-sisa pengamal media di arus perdana yang kononnya berjuang untuk kebebasan media serta kepentingan negara.

Para penyokong kerajaan pula yang majoriti orang Melayu memang mudah melompat dan menjadi penyebar kepada berita yang disiarkan separuh benar dan tidak benar ini.

Apatah lagi ia bagaikan sehaluan dengan kehendak mereka untuk memuaskan rasa tidak puas hati mereka, terhadap pemimpin tertentu.

Tanpa mereka sedar perbuatan itu hanya bakal menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional akan berkubur dalam sekelip mata dan mungkin menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah negara kita.

Pemimpin UMNO yang menjadi sasaran pada masa ini tentulah Datuk Seri Najib Tun Razak dan paling teruk diserang kini ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau merupakan Presiden UMNO.

Suara sumbang ini pula dihebohkan pula oleh burung sahut yang hanya memanjangkan sesuatu sahutan tanpa memikirkan benar atau salah.

Saya suka memetik kenyataan peguam Hanif Khatri Abdulla di Facebooknya yang menyatakan apa yang berlaku pada masa ini orang ramai berpersepsi negatif terhadap sistem keadilan negara.

Masyarakat kata beliau, gagal melihat bagaimana mahkamah bertindak pantas memanggil semula Ahmad Zahid menyambung perbicaraan berikutan kekeliruan komunikasi Presiden UMNO itu dengan Pejabat Perdana Menteri.

Hanya dalam tempoh tiga jam sahaja mahkamah telah memanggil kesemua terbabit hadir di mahkamah untuk penjelasan.

Hari ini Ahmad Zahid telah memohon maaf atas kekeliruan itu dan mahkamah telah menerimanya dan tiada sebarang prosiding menghina mahkamah dijalankan.

Oleh itu orang ramai perlu menghormati mahkamah yang bertindak sepantas merungkai kekeliruan yang berlaku.

Jadi tidak perlu lagi untuk mempertikai integriti mahkamah dan pada masa yang Ahmad Zahid perlu dilayan seadilnya iaitu selagi mahkamah tidak mendapati bersalah, beliau adalah sama seperti semua orang mempunyai hak di negara ini yang dijamin oleh Perlembagaan dan lunas undang-undang.

Saya tidak berminat untuk bercerita panjang bagaimana kerajaan Pakatan Harapan mempergunakan mahkamah bagi membebaskan pemimpin mereka.

Perbuatan mereka menyebabkan mahkamah terpalit dengan persepsi negatif.

Ahmad Zahid dan Najib telah menyatakan mereka tidak mahu kes mereka digugurkan dan mahu membersihkan nama di mahkamah. Jadi berilah ruang.

Isu kepartian biar dibawa ke gelanggang yang betul iaitu pada pemilihan parti.

Jadi tidaklah perlu mengulangi kesilapan PH yang mencuci kekotoran di khalayak ramai, akhirnya mereka sendiri menjerumuskan diri ke kancah kehancuran.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button