Politik

Kebangkitan semula anak raja Pahang dalam arena politik

Tengku Azlan jadi tumpuan pemilihan PPBM Pahang

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

TEMERLOH 3 Mac – Kemunculan semula tokoh politik ‘senior’ yang juga anak raja, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, 71, yang bertanding jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Temerloh menjadi tumpuan dalam pemilihan PPBM di negeri ini.

Tengku Azlan yang mempunyai sejarah politik panjang bersama UMNO dan pernah menyertai Semangat 46 sebelum ini menjadi Ketua UMNO
Bahagian Jerantut selama tiga penggal dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri.

Malah jika kemenangan Berpihak kepada Tengku Azlan dalam pemilihan bahagian Temerloh ia dilihat membuka peluang adinda Almarhum
Sultan Ahmad Shah itu menjadi Pengerusi PPBM negeri berdasarkan pengalaman, pengaruh dan keupayaan beliau.

Dalam pemilihan kali ini pada mulanya Tengku Azlan akan bersaing sengit dalam pertembungan tiga penjuru dengan Pemangku Ketua
PPBMTemerloh, Mohd. Anuar Aziz dan seorang usahawan, Datuk Rafaie Hamdan.

Namun pada saat akhir menjelang pemilihan pada 7 Mac ini keadaan bagaikan berpihak kepada Tengku Azlan apabila Mohd. Anuar dan
penyokongnya bertindak menarik diri dan manyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tengku Azlan.

Tengku Azlan berkata, tujuan beliau kembali semula ke arena politik dan bertanding dalam pemilihan PPBM Temerloh bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi hanyalah satu untuk menyatukan orang Melayu serta membawa PPBM Temerloh ke tahap yang terbaik.

Beliau menjelaskan akan menggunakan segala pengalaman untuk memartabatkan PPBM Temerloh dan memastikan parti itu terus relevan dan memperjuangkan rakyat.

“Saya rasa peranan saya disini bersama rakan-rakan yang ada ini tidak lain tidak bukan untuk mengukuhkan bahagian ini dari segi pentadbiran dari segi susunan parti dari segi parti dalam kerajaan yang mana boleh dihormati dan disegani pelbagai pihak.

“Kita masuk politik bukan untuk mengkayakan diri kerana kalau hendak kaya masuk bisnes. Saya ke Temerloh (bertanding PPBM) umur sudah
77 tahun, berapa tahun lagi ada, anak sudah besar, sudah ada cucu, kereta besar mana lagi saya hendak,”katanya pada majlis jalinan mesra di sini, malam semalam.

Menurutnya, penyatuan dan usaha memperkukuhkan PPBM amat penting apatah lagi dalam suasana politik semasa bagi memastikan parti baharu itu tidak akan dipandang rendah dengan parti lain yang telah lama bertapak dan mempunyai ahli yang ramai.

Katanya, beliau akan menggunakan pengalaman dan pengaruh yang ada untuk bekerja dan berhubung dengan semua pihak termasuk kerajaan
negeri dan Persekutuan bagi memartabatkan PPBM Temerloh dan membantu masyarakat..

Dalam pada itu beliau berkata, tindakan Mohd, Anuar menarik diri dan memberikan sokongan kepadanya merupakan satu pengorbanan besar
demi penyatuan Melayu dan memperkukuhkan PPBM.

Katanya, ini jelas menunjukkan Mohd. Anuar berjiwa besar, berani dan sanggup melupakan jawatan demi penyatuan Melayu dan memperkukuhkan perjuangan parti.

Sementara itu, Mohd. Anuar berkata, keputusannya memberi sokongan kepada Tengku Azlan bukanlah disebabkan apa-apa ganjaran yang dijanjikan sebaliknya melihat kepada kelayakan dan kemampuan yang ada pada Tengku Azlan.

Jelasnya, sokongan terhadap Tengku Azlan dibuat selepas mengambil kira kemampuan Tengku Azlan untuk berhadapan cabaran membawa PPBM
Temerloh ke tahap terbaik.

“Saya bangga pada malam ini dengan kehadiran Yang Mulia Tengku Azlan yang merupakan nama besar politik tanah air dan golongan kerabat Diraja Pahang yang saya yakin mampu menerajui PPBM Temerloh.

“Saya juga yakin Tengku Azlan sebagai Kerabat Diraja Pahang dan bekas menteri kabinet sudah tentu mempunyai suara yang akan didengar di peringkat negeri, Persekutuan dan Istana Negara,”ujarnya.

(Visited 896 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button