Berita

Pendidikan harus dipersembah dalam citra yang menggamit minat – Raja Muda Perlis

PENDIDIKAN merupakan pemacu utama kejayaan dalam kehidupan. Pendidikan harus dipersembahkan dalam citra yang boleh menggamit minat para pendambanya. Justeru itulah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berusaha sedaya upaya memainkan peranan serius dalam mengangkasakan Pendidikan di negeri Perlis.

Selari dengan usia MAIPs yang mengenjak 100 tahun, MAIPs dilihat berpotensi dan berkemampuan mengalas peranan yang signifikan dalam kecemerlangan Pendidikan.

Hasrat di sebalik pelaksanaan Program Sekolah Amanah Jamalullail adalah hasil kerjasama MAIPs dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Perlis di bawah kendalian Yayasan AMIR melalui LeapED Services adalah bermatlamat bagi menambah baik hasil pembelajaran setiap pelajar agar lebih mampan melalui matlamat strategik yang memberi fokus terhadap kepimpinan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa serta masyarakat.

Pelaksanaannya diharap menjadi pemangkin ke arah penyediaan persekitaran pembelajaran holistik dan interaktif agar pelajar boleh memenuhi potensi peribadi dan akademik masing-masing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat melancarkan ’Program Sekolah Amanah Jamalullail” di sekolah terpilih negeri Perlis sempena Sambutan 1 Kurun MAIPs serta Majlis Apresiasi Penyumbang Zakat Pendapatan Tahun 2019” yang diadakan di Dewan Iltizam Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang pagi tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh KetuaPegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Pelajaran Negeri Perlis, Izmi Ismail.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib dan Pengerusi Yayasan Amir, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa wangsa ”Jamalullail” diabadikan pada nama Program ini sebagai signifikan kepada kesungguhan Institusi DiRaja Perlis yang sentiasa memberikan perhatian dan dampingan kepada segala bentuk usaha ke arah mewujudkan generasi rakyat yang berilmu di negeri ini.

Terdahulu, turut diadakan ialah ‘Forum Sekolah Amanah “Satu Haluan, Sehaluan” yang disertai oleh Haji Mohd Nazim Mohd Noor (Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim (Pemegang Amanah Yayasan Amir), Abdul Hadi Mahamood (Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis) dan Dr. Kasuma Satria (LeapEd Services) sebagai moderator.

(Visited 198 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button