Hiburan

Rizman Ruzaini bakal luaskan empayar di Dubai dan Indonesia

PEREKA fesyen terkemuka tanah air, Rizman Ruzaini, sekali lagi mencuri perhatian apabila mengadakan sambutan Hari Raya yang cukup meriah di sebuah hotel terkemuka di tengah ibu kota baru-baru ini. Majlis penuh eksklusif itu turut dihadiri ramai selebriti serta tokoh-tokoh korporat, menyemarakkan lagi suasana perayaan.

Lebih menarik, Rizman turut berkongsi perkembangan terbaharu jenama mereka. Tahun ini, Rizman Ruzaini bakal melakar sejarah tersendiri dengan melangkah ke pasaran antarabangsa. Mereka bakal merealisasikan impian untuk melebarkan sayap ke Dubai dan Indonesia – dua destinasi yang dianggap strategik dalam dunia fesyen global. Pembukaan butik di Dubai dan Indonesia dijangka berlangsung dalam tahun ini juga, menandakan fasa baharu dalam perjalanan mereka.

Selain itu, Rizman Ruzaini juga bakal memperkenalkan koleksi terkini di Kuala Lumpur, membuktikan komitmen mereka untuk terus menjadi inspirasi kepada pereka fesyen tempatan. Menurut Rizman, cabaran untuk mengangkat nama Malaysia ke pentas antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah, namun ianya satu tanggungjawab besar yang dipikul dengan penuh dedikasi.

“Kami mahu mempersembahkan keunikan Malaysia di mata dunia, bukan sekadar rekaan tetapi juga warisan budaya seperti batik dan songket yang sentiasa menjadi sumber inspirasi kami,” ujar Rizman.

Setiap kali menyertai pameran fesyen di luar negara, mereka tidak pernah lupa mengetengahkan elemen tradisional Malaysia, sekali gus berjaya menarik perhatian komuniti fesyen di Dubai. Sambutan positif yang diterima di sana menjadi pembakar semangat untuk terus mengorak langkah ke pentas lebih besar seperti Dubai Fashion Week dan Paris Fashion Week.

Impian mereka adalah untuk melihat nama-nama besar dunia seperti Beyoncé, Jennifer Lopez dan Adele menggayakan rekaan Rizman Ruzaini. Mereka yakin, formula kejayaan yang digunakan di Malaysia boleh diterjemahkan di peringkat antarabangsa.

“Bila sebut Malaysia, kami mahu dunia turut mengingati jenama Rizman Ruzaini,” jelasnya penuh optimis.

Dengan visi yang jelas serta usaha gigih, Rizman Ruzaini terus membuktikan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dan mengharumkan nama Malaysia di persada fesyen dunia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button