Luar Negara

Lima Polis Maut Pesawat Terhempas di Pantai Hua Hin, Thailand

Sekurang-kurangnya lima pegawai polis Thailand dilaporkan maut selepas sebuah pesawat ringan milik Polis Diraja Thailand terhempas ke dalam laut berhampiran pantai peranginan popular Hua Hin, wilayah Phetchaburi, pagi tadi.

Menurut laporan media tempatan, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan) apabila pesawat jenis Viking DHC-6 Twin Otter itu sedang melakukan penerbangan latihan sebagai persiapan untuk aktiviti payung terjun.

Pesawat yang membawa enam anggota itu dikatakan terjunam secara tiba-tiba kira-kira 100 meter dari pantai, berhampiran Lapangan Terbang Hua Hin, sebelum terbelah dua akibat hentaman kuat. Lima mangsa disahkan maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Hua Hin.

Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan detik-detik cemas ketika pesawat tersebut menjunam laju ke dalam laut, disaksikan oleh pelancong dan orang awam yang berada di sekitar kawasan pantai.

Pihak berkuasa Thailand kini sedang giat menjalankan siasatan terperinci, termasuk menganalisis perakam penerbangan (kotak hitam) bagi mengenal pasti punca sebenar nahas tragis ini.

Insiden ini turut mendapat perhatian meluas kerana ia berlaku di kawasan tumpuan pelancong, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan penerbangan di negara itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button