
Ar-Rahnu X’Change dan RMS Gold Terus Meluas, RMS Sasar Pasaran Klang
RAKYAT Management Services Sdn. Bhd. (RMS), subsidiari milik penuh Bank Rakyat, terus meluaskan capaian perkhidmatan kewangan dengan merasmikan pembukaan operasi francais Ar-Rahnu X’Change serta cawangan kedua RMS Gold di Jalan Kebun, Klang baru-baru ini
Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh Pengerusi RMS merangkap Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Haji Mohd Jafri Kudus, dihadiri barisan kepimpinan Bank Rakyat serta pegawai awam dan agensi tempatan.
Ar-Rahnu X’Change yang beroperasi di No.125, Jalan Kebun Nenas 7A/KS8, Bandar Putera 2 ini menjadi rangkaian ke-84 di seluruh negara, menegaskan lagi kekuatan jenama Ar-Rahnu X’Change dalam perniagaan pajak gadai Islam.
Menurut Haji Mohd Jafri, pembukaan cawangan ini adalah respons terhadap permintaan tinggi dan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat terhadap kemudahan pembiayaan tunai segera melalui sistem Ar-Rahnu, khususnya di daerah Klang. “Industri Ar-Rahnu menunjukkan perkembangan sangat positif, selain kekuatan francais Bank Rakyat sendiri,” katanya.
Lebih menarik, premis baharu ini turut dijadikan pusat prototaip yang berfungsi sebagai pusat latihan, penyelidikan pembangunan, inovasi, dan pusat lawatan untuk koperasi serta agensi yang berminat mendalami model operasi francais ini.
Dalam majlis yang sama, RMS turut merasmikan cawangan kedua RMS Gold, jenama barangan kemas milik mereka yang kini menjadi pilihan pelanggan dengan koleksi barangan ‘preloved’ kontemporari pada harga kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif RMS, Hj. Mohamad Azwani Asa’d memaklumkan, RMS Gold mencatat jualan kasar RM22 juta sepanjang tahun 2024 dan merekodkan RM4.9 juta pada suku pertama 2025. “Kesedaran terhadap pelaburan emas kini memasuki dimensi baharu apabila semakin ramai memanfaatkan aset ini sebagai simpanan kalis inflasi dan pelaburan jangka panjang,” jelasnya. Pelanggan juga boleh membeli barangan kemas secara atas talian di laman rmsgold.com.my.
Majlis turut menyaksikan RMS menyampaikan sumbangan kepada sekolah dan masjid sekitar Jalan Kebun sebagai sebahagian tanggungjawab sosial syarikat.