NasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat jelata

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata terutamanya di negeri Perlis serta semua kaum kerabat dan sahabat handai yang bersama-sama mendoakan ke hadapan Allah SWT agar dikurniakan kesejahteraan dan kesembuhan segera ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada tengahari semalam.

Baginda juga turut menzahirkan setinggi penghargaan buat barisan pakar perubatan, kakitangan petugas kesihatan, warga kerja Hospital Putrajaya (HPj) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan urusan rawatan dan pembedahan Raja Perlis dapat berjalan dengan selamat, lancar dan sempurna.

Tuanku Syed Sirajuddin telah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada tengahari semalam.

Pembedahan yang bermula pukul 12 tengah hari semalam (1 April) telah mengambil masa selama enam jam 40 minit.

Baginda telah menerima pembiusan setempat (Regional Anaesthesia) sepanjang tempoh pembedahan tersebut.

Pembedahan Raja Perlis telah dijalankan oleh empat Pakar Perunding Ortopedik dan tiga Pakar Perunding Anestesia.

Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan dan syukur alhamdulillah selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah pada pukul 6.40 petang.

Berada sama di hospital pada malam semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya; Dr. Mohammad Khairol Anwar Yusop.

Menurut Dr Noor Hisham, terkini Raja Perlis berada dalam keadaan yang stabil dan terkawal.

Namun begitu Baginda masih di dalam pemerhatian rapi oleh doktor-doktor pakar yang ditugaskan.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Pemangku Raja dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berada di HPj ketika pembedahan dilaksanakan.

Seluruh rakyat juga dipohon agar terus mendoakan kesembuhan buat Raja Perlis, berkekalan di bawah ri’ayah yakni pemeliharaan dan jagaan Allah SWT.

Pada masa yang sama dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau, Pemangku Raja Perlis bertitah mendoakan agar negeri dan rakyat Perlis yang tercinta akan sentiasa terpelihara daripada segala mara bahaya dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan. – SM

(Visited 1,952 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button