fbpx
Nasional

Pemakaian pangkat: Hormat raja-raja Melayu, hormat tentera ye? sindir Najib

GARA-gara memakaikan Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah kepada orang awam termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu disindir oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana menurut Najib, tidak sampai setahun lalu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mengeluarkan kenyataan bahawa tiada lagi amalan pemberian dan pengurniaan pangkat kehormat serta pemakaian seragam tentera kepada ahli politik termasuk golongan selebriti.

A long time ago in a galaxy far, far away….

“Hormat raja-raja Melayu. Hormat tentera ye? Perlu menjalani latihan ketenteraan seperti melalui pasukan Askar Wataniah ya?

“Hari ini, Mat Sabu bagi pangkat kehormat kepada ahli politik dan penasihat pulak. Penasihat pun dapat pangkat Brigadier Jeneral,” sindir Najib di Facebooknya.


Selain Aminuddin, orang awam yang turut menerima pemakaian pangkat adalah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Datuk Dr. Razali Ab Malik.

Pada 19 April tahun lalu. Mat Sabu berkata, amalan pemakaian pangkat kepada orang awam dihentikan bagi menghormati jasa serta pengorbanan tentera yang bersusah payah berkhidmat dan mengelak pangkat serta gelaran itu direndahkan.

“Langkah itu mendapat sokongan Raja-Raja Melayu yang menjadi penaung kepada pelbagai cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mereka (Raja-raja Melayu) amat mengalu-alukan langkah itu kerana penganugerahan ini boleh disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” kata Mat Sabu.

Semakan Suara Merdeka mendapati apa yang dilakukan oleh Mat Sabu dan pangkat yang diterima oleh Aminuddin, Mohd Zuki dan Dr. Razali tidaklah salah sebaliknya bertepatan dengan penubuhan Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW).

JAKPAW merupakan suatu jawatankuasa di peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri untuk menggalakkan rakyat menyertai Angkatan Simpanan Persekutuan (ASP).

Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar/Ketua Menteri. Penaung JAKPAW dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera dengan diperuntukkan pangkat  Brig.Jen. (Kehormat).

Selain daripada itu, perjawatan Pengerusi JAKPAW dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri. Perlantikan Pengerusi JAKPAW dibuat oleh Menteri Besar/ KetuaMenteri/Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat).

Kesemua perjawatan tauliah kehormat ini perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.

Perjawatan tauliah kehormat boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button