Nasional

Raja Muda Perlis titah rakyat perlu belajar hidup bersama Covid-19

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan setiap individu dan ahli keluarga serta masyarakat supaya mengambil langkah drastik untuk lebih bersedia dan mulai belajar untuk ‘hidup’ bersama virus Covid-19 dengan amalan dan kawalan kendiri yang lebih rapi serta ilmu berkaitannya. Ini adalah kerana melihat kepada situasi semasa kadar jangkitan Covid-19 di peringkat kebangsaan mahupun di negeri Perlis sendiri, semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa wabak ini telahpun menular dalam komuniti kita hari ini.

Tambah baginda, tindakan yang paling utama kini adalah tanggungjawab sosial dan tingkah laku yang baik oleh setiap individu dalam pengamalan kelaziman baharu dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib dari masa ke semasa agar risiko jangkitan dalam masyarakat dapat dikurangkan ke tahap yang paling rendah.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menziarahi mangsa bencana ribut, Che Cafle Bidun di Jalan Bendang Baru Kg. Bunga Emas Timur, Simpang Empat semalam

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan wang tunai daripada MAIPs bagi meringankan bebanan mangsa yang terbabit dan beliau turut melahirkan rasa bersyukur di atas sumbangan yang dihulurkan.

Sebanyak 4 buah rumah terlibat iaitu tiga di kawasan Sanglang dan satu di Simpang Empat dalam bencana angin kencang yang berlaku dua hari yang lalu.

Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengawai Penyelaras Zakat MAIPs Bagi Zon Selatan, Hj Mohd Radzi Ahmad Rahim.

Terdahulu lawatan dan tinjauan oleh pihak MAIPs bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dilaksanakan bagi mengenal pasti sumbangan yang akan disalurkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim mengulangi peringatan supaya setiap ketua keluarga memainkan peranan dengan memberikan perhatian yang khusus terhadap ahli keluarga dari kalangan warga emas dan berpenyakit kronik serta anak-anak kecil kerana mereka ini amat berisiko dan dikhuatiri boleh mendapat komplikasi yang lebih teruk yang boleh membawa kepada kematian sekiranya dijangkiti oleh virus Covid-19.

Tambah beliau, tindakan ini amat penting sekali kerana Perlis sudahpun berada di Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana kebanyakan sektor dalam negeri ini telah dibuka dan kehidupan penduduk telah kembali hampir seperti sedia kala namun dalam norma yang baharu.

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button