fbpx
Sukan

Pelumba Cub Prix kini bergaji bulanan

PELUMBA Cub Prix CP150 kini akan mendapat gaji bulanan bagi mengelak muncul masalah kewangan jika perlumbaan dibatalkan.

Menurut kenyataan promoter perlumbaan Cub Prix iaitu Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd, keputusan itu dicapai semasa mesyuarat antara prinsipal pasukan CP150 pada awal minggu ini bagi membantu pelumba Cub Prix terutama dalam kelas CP150 yang paling teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Buat masa ini, pembaharuan akan ditumpukan hanya kepada kelas CP150 kerana ini adalah kelas profesional yang menyaksikan tugas pelumba sepenuh masa adalah berlumba,” kata jurucakap kumpulan itu, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini seperti dilaporkan Bernama.

“Idea gaji minimum adalah bagi memastikan pelumba terus menerima bayaran sekiranya perlumbaan dibatalkan. Kami perlu saling membantu antara satu sama lain pada waktu-waktu yang sukar ini,” katanya.

Shahrol Yuzy, yang merupakan bekas pelumba kebangsaan MotoGP, bagaimanapun menegaskan bahawa gaji minimum itu tidak akan menggantikan bonus prestasi yang merupakan pendapatan utama pelumba.

Mesyuarat itu dihadiri wakil Pasukan Honda RCB Solaralert Cilik, Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Ipone Yamaha YY Pang, Idemitsu Honda Yuzy Racing, Hi-Rev SCK Honda Racing dan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing.

Kejohanan Cub Prix Malaysia 2020 telah dihentikan sejak pusingan pembukaan di litar Tangkak, Johor pada bulan Mac selepas kerajaan memutuskan untuk melarang sebarang perhimpunan massa bagi mengelak penularan jangkitan COVID-19. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!