fbpx
BeritaNasional

Pelan strategik kenal pasti, tangani punca perkahwinan bawah umur – TPM

KERAJAAN sedang merangka pelan strategi yang komprehensif bagi mengenal pasti dan menangani punca perkahwinan bawah umur, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, usaha itu merupakan strategi kerajaan untuk menangani masalah itu secara holistik dan bukan sahaja dari segi perundangan.

Beliau berkata, ini kerana terdapat banyak faktor yang mendorong kepada keputusan berkahwin bawah umur, meskipun kanak-kanak atau remaja itu belum lagi bersedia menempuh alam perkahwinan.

“Kita mesti ambil kira punca-puncanya termasuklah kemiskinan, cicir persekolahan, pendedahan awal kepada aktiviti seksual dan juga mungkin terlanjur sebelum bernikah, selain persepsi bahawa kahwin sebagai langkah penyelesaian.

“Kita bukan sahaja mahu buat satu undang-undang tetapi kita mahu tangani puncanya …kita mahu membetulkan keadaan, bukan memudaratkan keadaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Jalan F, Pandan di Kuala Lumpur hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas pada Jumaat lepas bahawa Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji cadangan menaikkan usia perkahwinan minimum untuk orang Islam daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Thomas berkata, kerajaan juga sedang meneliti untuk mengenakan prosedur lebih ketat bagi mahkamah syariah apabila ia memberi keizinan kepada mereka yang berusia di bawah 18 tahun untuk berkahwin.

Dr. Wan Azizah juga menegaskan had umur perkahwinan perlu dilihat sebagai umur yang boleh dan mampu memasuki alam perkahwinan dan memikul tanggungjawab berkaitan rumah tangga.

Justeru, katanya, kerajaan masih menjalankan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri agar cadangan menaikkan had umur minimum perkahwinan dapat direalisasikan sepertimana yang dibuat di Selangor yang telah menaikkannya daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

“Langkah menaikkan had umur adalah satu langkah yang bagus …sememangnya kita hendak mengikut jejak langkah Selangor yang telah memutuskan untuk berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Wan Azizah berkata, keputusan Kabinet untuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lepas menunjukkan betapa pentingnya portfolio pendidikan dalam pentadbiran kerajaan baharu.

“Bagaimanapun ini adalah langkah sementara …hanya untuk sementara waktu,” katanya.

Pada 2 Januari, Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan setelah 20 bulan memegang jawatan berkenaan.

Terdahulu, Dr. Wan Azizah menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap SRA di Parlimen Pandan untuk disalurkan kepada murid asnaf dan daripada keluarga B40, selain menyumbangkan cermin mata percuma kepada 100 murid yang mempunyai masalah penglihatan dan rabun daripada empat SRA.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button