Politik

Ulangtahun ke-2 jadi kerajaan: Wan Azizah berharap PH akan ‘kembali’

PAKATAN Harapan akan ‘kembali’ dengan sokongan rakyat menjadi harapan baru bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sempena ulangtahun kedua kejayaan Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau yakin kepada sokongan rakyat untuk Pakatan Harapan kembali semula.

“Dengan sokongan anda, Pakatan Harapan akan kembali. Saya yakin pada kita semua, rakyat Malaysia. Inilah #HarapanBaharu saya,” kata Wan Azizah.

Menurutnya, dua tahun lalu pada tarikh hari ini majoriti rakyat Malaysia telah mengundi dan memberi mandat kepada kerajaan baharu buat pertama kalinya dalam 61 tahun sejarah negara.

Wan Azizah berkata, perubahan besar pada tanggal 9 Mei 2018 adalah hasil suatu perjuangan reformasi yang diperjuangkan suamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama bertahun-tahun lamanya.

Laungan keramat reformasi yang sering diulang dengar adalah laungan yang diperjuangkan oleh Anwar demi keadilan untuk rakyat dan perjuangan itu terpaksa dibayar dengan hukuman penjara.

“Perlu diingat Dato’ Seri Anwar Ibrahim berupa insan yang telah menyemai benih perjuangan ini demi keadilan untuk semua.

“Namun beliau terpaksa membayar dengan dipenjara akibat pertuduhan-pertuduhan palsu. Kesihatan beliau turut terjejas dan beliau masih di hospital ketika perubahan bersejarah itu berlaku. Bagi Dato’ Seri Anwar, itu adalah lumrah perjuangan,” kata Dr. Wan Azizah.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, keutamaan Pakatan Harapan kini adalah untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19.

Pada 9 Mei 2018 Pakatan Harapan berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mendapat mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Kerajaan Pakatan Harapan hanya mampu bertahan selama 22 bulan apabila beberapa Ahli Parlimen Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar daripada gabungan tersebut pada Mac lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan menjadi semakin goyah apabila beberapa Ahli Parlimen PKR yang diketuai bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Azmin Ali bertindak keluar parti.

Kedudukan PH sebagai Kerajaan Persekutuan kemudian roboh apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 sekaligus menyaksikan Kabinet yang dianggotai Ahli Parlimen Pakatan Harapan terbubar.

Kumpulan Muhyiddin dan Azmin kemudian membentuk kerjasama dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pas di bawah Perikatan Nasional.

Muhyiddin kemudian dipilih sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati Ahli Parlimen Pagoh itu mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.-SM

 

 

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button