Nasional

TUDM hantar pulang 19 rakyat tempatan bebas COVID-19

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan membawa pulang 19 rakyat Malaysia dari Sabah, Sarawak dan Labuan yang disahkan bebas COVID-19 setelah selesai menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada penuntut universiti dan yang bekerja di luar negara itu turut menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki pesawat pengangkut A400M dan berlepas dari Pangkalan Udara Subang di sini, semalam.

“Menerusi penerbangan itu, TUDM menghantar mereka di tiga lokasi iaitu ke Kuching, Kota Kinabalu dan Labuan sebelum penghantaran ke lokasi penempatan di daerah kediaman masing-masing yang diuruskan agensi di bawah kerajaan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain penghantaran pulang individu berkenaan, pesawat A400M turut melaksanakan penghantaran barang-barang bantuan alatan perubatan, barangan keperluan peralatan perlindungan diri (PPE) serta makanan ke Labuan, Sabah dan Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, sehinggga kini TUDM, melalui enam penerbangan telah menghantar pulang 159 rakyat Malaysia berasal dari Labuan, Sabah serta Sarawak yang pulang dari luar negara.

Penghantaran itu adalah usaha sama melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan TUDM.

Sementara itu situasi Covid-19 di Malaysia makin menunjukkan petanda positif dengan semalam tiada kematian direkodkan akibat COVID-19 dalam tempoh dua hari berturut-turut di negara ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik itu kekal 107 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes baharu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam iaitu 68 kes dengan 57 kes melibatkan kalangan bukan warganegara Malaysia.

“Ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia adalah sebanyak 6,535 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,564 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Terdapat 88 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlahnya lebih tinggi berbanding kes baharu.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,864 kes iaitu 74.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 18 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, satu kluster baharu dikenal pasti melibatkan 60 kes positif iaitu 53 warga asing dan tujuh warga tempatan di sebuah kilang di Pedas.- BERNAMA

(Visited 402 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button