fbpx
BeritaPendidikan

Pelajar UniMAP disaran supaya lebih berswadaya – Raja Muda Perlis

Pelajar baru Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinasihatkan agar ‘Belajarlah dengan cara kendiri yang lebih ‘berswadaya’ iaitu menyesuaikan diri dengan suasana ‘self-learning’ dan kurang kebergantungan kepada pensyarah. Sentiasa berfikiran terbuka dan hasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan semua pihak’.

‘Bersedialah untuk ‘diantarabangsakan’ iaitu menjurus kepada mempersiapkan pelajar dalam mengamalkan konsep ‘Think Globally, Act Locally’ seiring visi UniMAP iaitu ‘Universiti Teknikal yang berdaya saing di persada antarabangsa’.

Pada masa yang sama, ‘Fokus kepada ilmu pengetahuan. InsyaAllah kita bakal mampu melahirkan lebih ramai lagi mahasiswa terbaik UniMAP dan menjadi kebanggaan universiti, keluarga, masyarakat, negeri dan negara’.

Demikian titah Raja Muda Perlis TuNku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan ‘Program Minggu Suai Kenal (MSK) Ijazah UniMAP Sidang Akademik 2020/2021 – Majlis Simbolik Penerimaan Pelajar Baru’ menerusi platform digital yang diadakan di Auditorium Bangunan Canselori Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada petang tadi.


Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan berharap agar para mahasiswa baru akan dapat segera menyesuaikan diri dan berjaya menjadi graduan yang mantap dan hebat nanti.

Seramai 2,251 orang pelajar baru dijadualkan mendaftarkan diri di UniMAP pada hari ini.

Menurut Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP lagi, pelbagai kemudahan asas disediakan oleh pihak universiti termasuklah dewan dan bilik kuliah, makmal pengajaran dan penyelidikan, dewan peperiksaan, perpustakaan, pusat pelajar, kolej kediaman, kafeteria, pusat rekreasi, pusat kejuruteraan, kilang mengajar, stesen penyelidikan agroteknologi dan pelbagai lagi. Pihak universiti sangat menitikberatkan keselesaan dan kualiti pelajar tidak sesekali dikompromi.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Pendekatan yang diamalkan bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda merangkumi komponen teori dan praktikal. Oleh kerana UniMAP merupakan universiti kejuruteraan, penekanan terhadap pengajaran dan pembelajaran lebih kepada praktikal di dalam makmal, ‘Teaching Factory’, e-pembelajaran dan pendedahan kepada industri yang memberi peluang setiap pelajarnya mengaplikasikan ilmu dipelajari dengan berkesan dan efektif.

Di akhir majlis yang sama Naib Canselor turut menerima penyerahan dua buah laptop yang ditaja dan seterusnya menyerahkan kepada dua orang wakil pelajar sambil disaksikan oleh Duli-Duli Tuanku sebagai simbolik penyerahan sumbangan.

Show More

Related Articles

Back to top button