Rencah Hidup

PdPR: Wujud kebimbangan keciciran dalam pelajaran

BERBANDING pembelajaran secara bersemuka, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menimbulkan semula keresahan terhadap keciciran dalam pelajaran.

Masalah sedemikian sebelum ini dihadapi sejak teknologi belum lagi berkembang terutama melibatkan anak-anak yang tinggal di kawasan luar bandar.

Berikutan itu pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan dilakukan kerajaan terhadap sistem pendidikan negara sehinggalah masalah keciciran dapat diminimumkan.

Namun, masalah keciciran sekali lagi terpaksa dihadapi apabila jurang wujud seiring dengan perkembangan teknologi terutama dalam mengadaptasi pembelajaran secara PdPR.

Isu gajet dan capaian internet kini menjadi isu berbangkit sehingga keresahan terhadap keciciran dalam pelajaran kembali timbul apabila dua perkara penting itu menjadi asas dalam PdPR

Seperti yang dihadapi seorang ibu tunggal yang tinggal di Kampung Mahawangsa, Padang Peliang di Pendang, Kedah, Siti Rohana Mohamad, 47.

Beliau meluahkan kerisauan terhadap masalah sedemikian berikutan tidak mampu menyediakan kelengkapan sewajarnya kepada tiga anaknya yang masih bersekolah.

Malah, beliau yang mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu memaklumkan terpaksa membeli data internet supaya anaknya dapat mengikut kelas dalam talian (online).

“Saya hanya mengharapkan bantuan JKM iaitu sebanyak RM350 untuk beli salah seorang anak yang mengalami penyakit saraf seperti lampin pakai buang, susu khas dan ubat.

“Bantuan zakat RM100 seorang untuk anak kelima dan bongsu yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput digunakan untuk per­belanjaan seharian kami sekeluarga.

“Selain itu, saya juga terpaksa membeli data internet bagi memastikan anak-anak saya dapat mengikuti kelas dalam talian.”

Kata Siti Rohana seperti dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai kesukaran yang dihadapinya untuk mengadaptasi kaedah PdPR.

Tambahnya, masalah sedemikian menyebabkan anak-anaknya tidak dapat mengikut pembelajaran sempurna apabila terpaksa berkongsi gajet.

Katanya, beliau juga mengakui terpaksa meminjam telefon pintar adiknya supaya anak-anaknya dapat mengikuti pembelajaran dan tidak tercicir.

“Salah seorang anak saya terpaksa menunggu sehingga selesai proses PdPR dua anak yang lain.

“Sedangkan  sesi pembelajaran berlangsung pada masa sama iaitu antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kadang-kadang saya terpaksa pinjam telefon pintar adik saya bagi memudahkan mereka belajar,” luahnya. – SM

(Visited 360 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button