Politik

PdPR: Maszlee sedia bekerjasama dengan sesiapa

ISU Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semakin kritikal dibincangkan malah sehingga terdapat luahan ibu bapa yang berputus asa.

Ini kerana, keberkesanan PdPR itu dipersoalkan apabila terdapat murid yang sekadar memenuhi keperluan dalam pembelajaran itu seperti kehadiran dan tugasan.

Di tambah pula dengan keluhan ibu bapa terhadap kemudahan yang terhad bagi memastikan PdPR dapat dilaksanakan di rumah.

Ia termasuklah kekangan seperti komputer atau telefon pintar yang terhad serta capaian internet yang tidak memuaskan.

“Setiap hari saya dapat banyak mesej ibu bapa beritahu susahnya keadaan yang mereka hadapi hari ini. Ada cikgu yang mesej saya secara peribadi minta suarakanlah isu ini sampai Kerajaan dengar.

“Saya secara peribadi bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan pendidikan anak-anak ini dapat dipelihara dan masa depan mereka terjamin.

“Kita sedang menghadapi satu situasi yang amat serius dan kritikal. Diam tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menunjukkan betapa ‘clueless’-nya Kerajaan untuk berhadapan dengan situasi ini.”

Demikian kata bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa pelbagai pihak perlu dilibatkan dalam pelaksanana PdPR.

Pelbagai pihak perlu menyumbangkan penyelesaian kepada isu akses internet serta masalah lain bagi murid untuk belajar melalui kaedah PdPR.

“Saya cadangkan partisipasi semua pihak untuk selesaikan beberapa masalah yang sangat kritikal sekarang ini antaranya isu akses internet dan peranti untuk anak-anak ini belajar.

“Saya tak sanggah keputusan untuk melaksanakan PdPR kerana saya faham keadaan yang negara kita hadapi. ‘Desperate times call for desperate measures’, saya faham itu.

“Tetapi berusahalah untuk sediakan prasarana dan ekosistem yang baik supaya PdPR berkesan dan pendidikan anak-anak kita boleh diselamatkan.

“Bukan diam dan buat tak peduli sahaja. Turunlah ke bawah. Jumpa cikgu, jumpa ibu bapa, jumpa anak-anak dan dengar luahan mereka,” jelasnya.

Menurut Maszlee, antara agensi yang boleh dilibatkan termasuklah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kementerian lain yang turut boleh dilibatkan adalah Kementerian Perpaduan, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan juga kerajaan negeri.

Agensi lain seperti jabatan kerajaan berkaitan serta organisasi bukan kerajaan (NGO) juga perlu dilibatkan bersama bagi memberi buah fikiran dan menyumbang kepada penyelesaian isu PdPR. – SM

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button