Sukan

Pasukan, pemain digesa jalin kerjasama erat – Hamidin

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa kepada para pemain dan pasukan agar menjalinkan hubungan yang lebih erat bagi membina persefahaman yang utuh demi kemajuan bola tanah air.

Beliau yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) turut meminta kepada pemain yang lebih senior untuk membimbing pemain baru bagi menjaga kepentingan pasukan dalam sama-sama memelihara Liga Malaysia.

“Bagi saya, pemain dan pasukan perlukan sokongan antara satu sama lain terutama semua pihak perlu faham dalam keadaan ketidak tentuan COVID-19 kita perlu bijak berbelanja mengikut bajet.

“Dalam situasi ini, pemain khususnya perlu faham terutama dalam membabitkan soal kontrak dan gaji.

“Secara keseluruhan pasukan dan pemain pastinya ada luahan dan tanggapan masing-masing, maka kerjasama dan persefahaman amat penting demi menyelesaikan sesuatu kes demi kelangsungan industri bola sepak negara,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menghadiri sesi perbincangan bersama Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi mengemas kini isu semasa membabitkan bola sepak di ibu negara, semalam.
Perbincangan tersebut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

Sementara itu, PFAM diwakili Presidennya, Safee Sali dan turut serta Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail bersama ahli exconya yang juga bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan, Shahrom Kalam dan S. Subramaniam.

Menurut Hamidin, selain membincangkan tentang jadual bola sepak dalam berdepan senario ketidaktentuan akibat COVID-19 dan impaknya ke atas bola sepak secara keseluruhan, isu tunggakan gaji turut dibangkitkan.
Jelasnya, tunggakan gaji pemain semakin menurun dan kerjasama PFAM serta FAM amat diperlukan dalam memastikan isu itu dapat terus diberi perhatian dan tidak lagi membelenggu kancah bola sepak negara.

“Semua pihak, FAM, MFL dan PFAM memainkan peranan besar dalam menyelesaikan isu semasa bola sepak terutama yang membabitkan pemain.

“Lantaran itu, kerjasama penting untuk kita menambah baik gerak kerja kedua-dua organisasi demi memelihara kepentingan pemain serta memperkasakan lagi mutu bola sepak negara.

“Kami juga berbincang dan memberi cadangan untuk mengukuhkan lagi cara serta perfahaman pengurusan penswastaan kelab di mana ia penting untuk pembangunan pemain serta bola sepak secara keseluruhan,” ujarnya. – SM

(Visited 144 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button