Politik

Belanjawan 2021: Please don’t call me hero – Hanipa

AHLI Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin tidak mahu dirinya digelar sebagai wira hanya kerana semata-mata menjadi salah seorang daripada 13 ahli Parlimen yang menyokong agar undi belah bahagi dilakukan terhadap Belanjawan 2021 semalam.

Ahli Parlimen Amanah itu berkata, beliau tidak layak dipanggil sebagai wira dan lemas dengan gelaran ‘hero’ yang diberikan kepada beliau.

“Ramai orang mula berkata bahawa 13 MP yang bangun adalah hero. Mungkin 12 yang lain layak dipanggil hero kot. YB PH yang tak bangun tidak semestinya mereka takut atau tak layak dipanggil hero. Di dalam Parlimen, lazimnya sistem party’s whip dipakai.

“Saya tak rasa yang saya layak dipanggil hero walau sekecil zarrah. Malahan saya rimas dengan gelaran tu,” kata Mohamad Hanipa.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu antara 13 ahli Parlimen yang bangun untuk menyokong cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar agar dilakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021.

Bagaimanapun Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menolak cadangan tersebut kerana tidak mendapat sokongan maksimum 15 ahli Parlimen.

“Pada hari semalam saya masuk ke dewan dengan hanya satu tujuan- nak mengundi tolak bajet gomen tebuk atap yang khianat. Mungkin juga itu niat rakan rakan MP PH yang lain. Wallahu ‘alam.

“Bila rakan baik saya- YB Pokok Sena – bangun minta belah bahagian, saya terdengar ada suara dari sebelah MP gomen tebuk atap yang menjerit lebih kurang begini “jika berani bangunlah sokong YB Pokok Sena!

“Masa tu saya benar-benar geram dan marah mendengar cabaran tersebut. Saya bermonolog” kamu ingat saya takut macam kamu semua ke para pengkhianat! Lalu, saya bangun berdiri menyokong YB Pokok Sena!” cerita Mohamad Hanipa.

Sementara itu Hanipa berkata, beliau turut menerima kemarahan daripada penyokong pembangkang berikutan kecewa dengan peristiwa yang berlaku di dalam Dewan Rakyat ketika sesi pengundian Belanjawan 2021 semalam.

“Ya, benar anda semua berhak marah dan kecewa.Anda tidak salah untuk marah dan kecewa.Kami boleh hargai kemarahan dan kekecewaan yang teramat itu. Rest assured , you are not wrong to have that feeling.

“Sebagai salah seorang pemimpin PH, saya sendiri juga menerima kecaman pedas dari isteri dan anak-anak saya sendiri sebaik sahaja sampai di rumah.Berpesta mereka kritik dengan pedas.

“Saya tak marah dan hanya boleh senyum dan ketawa dalam duka. Saya tahu mereka amat kecewa kerana saya juga kecewa.Bayangkan tahap kemarahan mereka jika suami atau bapa mereka tidak termasuk dalam 13 MP yang bangun itu?” kata Mohamad Hanipa.

Namun baginya, peristiwa semalam mungkin memberi gambaran pembangkang telah tewas dalam pertempuran namun mereka akan menang dalam peperangan.

“Kta mungkin telah kalah dalam pertempuran buat masa ini, tetapi insya Allah kita dan rakyat akan memenangkan perang!” tegas Mohamad Hanipa.-SM

(Visited 235 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button