Politik

PAS letak 10 calon di PRN Sabah

RAKAN sekutu dalam Perikatan Nasional, PAS menyatakan hasrat untuk meletakkan 10 orang calon mereka untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, nama DUN yang bakal ditandingi parti itu akan diumumkan tidak lama lagi. Beliau turut berharap tiada pertembungan tiga penjuru terhadap 10 kerusi yang mereka tandingi nanti.

Menurutnya, sebagai parti yang sudah lama bertapak di Sabah, Pas tidak mahu ketinggalan mengambil bahagian di dalam pilihanraya Parlimen ataupun DUN.

“Sekitar 10 kerusi kita ‘angkat’ (kemuka) untuk bertanding, termasuk calon Muslimat PAS dan PAS biasanya bertanding di kerusi tradisi. Misalnya di Tawau dan Kalabakan.

“Apa yang penting Perikatan Nasional (PN) atas dasar Muafakat Nasional akan memastikan tidak berlakunya pertembungan tiga penjuru yang jelas akan merugikan parti,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, isu pembahagian kerusi dalam kalangan parti gabungan PN masih lagi dibincangkan dalam semangat muafakat.

PN menggabungkan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Barisan Nasional (BN), PAS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini untuk penamaan calon, 26 September hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 22 September. Sebanyak 73 kerusi DUN Sabah akan dipertanding dalam PRN kali ini.-SM

 

 

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button