fbpx
Nasional

Najib minta Kor Ming failkan saman

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming memfailkan saman terus terhadap beliau berhubung isu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang didakwa dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Menurut Najib, beliau tidak faham mengapa isu tersebut perlu melibatkan pihak polis sehingga beliau terpaksa hadir ke Bukit Aman untuk memberikan keterangan.

“Tapi apa yang saya tak faham ialah kenapa Nga Kor Ming besar sangat sehingga pihak polis perlu dilibatkan jika dakwaan dia ialah saya telah fitnah dia.

“Sepatutnya terus failkan saman fitnah sivil terhadap saya seperti apa yang saya pernah buat ke atas dia di mana saya telah menang. Saya tak melibatkan pihak polis pun walaupun masa itu saya PM,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini. Menurut Najib beliau akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan kepada pihak polis berhubung isu tersebut.


Najib berkata, Kor Ming telah membuat laporan polis kononnya beliau membuat fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan itu.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ia satu langkah daripada PH untuk cuba menutup atau menyekat page FB saya.

“Istana Selangor juga telah membuat laporan polis terhadap Nga Kor Ming atas sebab hasutan ke atas Sultan Selangor. Nga Kor Ming pula buat laporan polis terhadap saya atas sebab saya fitnah dia.

Najib menegaskan beliau tidak melemparkan sebarang fitnah terhadap Kor Ming dan beliau akan memberi maklumat serta bukti kepada pihak polis berhubung isu tersebut.

Pada 29 September lalu, hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor, tersebar di media sosial.

Hantaran yang ditulis dalam bahasa Cina itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak dan turut dikongsi Najib di Facebook beliau.

Bagaimanapun, Kor Ming menafikan beliau ada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook itu adalah akaun palsu.

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button