Minta tolong semua duduk di rumah – Chong Wei
BEKAS jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dengan duduk dalam rumah untuk mengurangkan penularan wabak COVID-19.
Bekas pemain nombor satu dunia itu turut meminta supaya orang ramai mengelak daripada balik ke kampung seolah-olah beraya kerana tindakan seperti itu boleh mengancam nyawa orang tersayang di sana, selain mengelak daripada menyimpan makanan secara berlebihan.
“Kawan sekalian, saya berharap agar anda jangan cemas menghadapi krisis ini dan saya minta tolong semua duduk di rumah, jangan keluar buat sementara ni. Percayalah, mimpi ngeri ini akan berakhir. (Jika) kita warga Malaysia tak kira bangsa dan agama berganding bahu, bertolak-ansur, tolong-menolong, hari itu akan sampai dengan lebih cepat.
“Kepada ‘frontliners’ (barisan hadapan), para doktor, missi (jururawat), kakitangan hospital dan juga cashier (juruwang) pasaraya yang terus berkhidmat dalam masa ini, terimalah tunduk hormat dari saya! Cara paling baik kita membalas budi dan bersumbang (menyumbang), is to #STAYHOME,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya.
Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa dari semalam hingga 31 Mac ini diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa malam bagi mengekang penularan COVID-19.
Chong Wei, pemenang pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali, turut berkongsi pengalaman lucunya berhadapan situasi pembelian panik Isnin lalu, apabila isterinya, Wong Mew Choo, yang juga bekas pemain negara, meminta dia membeli barangan yang diperlukan.
Beliau berkata Mew Choo telah memberikan senarai barangan seperti lima ekor ayam, sekampit beras, sayur-sayuran, lima bungkus mi segera, dua dozen telur, buah-buahan dan sebungkus tisu tandas untuk keluarganya.
Chong Wei berkata sejurus sampai di sebuah pasar raya berdekatan rumahnya, orang ramai sedang berlumba-lumba membeli barangan keperluan mereka, seolah-olah lumba maraton troli, yang disifatkannya boleh mengalahkan pelari pecut Khairul Hafiz Jantan.
“Nasib baik sempat lagi kumpul shopping list wife (isteri), tapi toilet paper (tisu tandas) I terlambat…Ternganga I tengok mamat depan I tapau 10 beg tisu jamban! …(I ingat masa dulu dalam situasi wabak yang bahaya, air paip pun akan jadi bahaya. Itu sebab tisu tandas jadi penting.)
“Datang satu suara menyeru (memanggil) dari belakang, ‘Lee, nah ambik beg ini. I terambik dua. Tadi tengok semua rebut tapau, saya pun terikut ambil extra, entah kenapa, bukan I pakai untuk basuh pun!,” Dia Nazir, sahabat yang tinggal berhampiran.
“Kita tergelak and catch up sikit. Selepas itu, makin ramai ‘gangster trolly’ (gengster troli) serbu, I pun terus cabut, sebab I tahu virus ini merebak mudah (mudah merebak),” katanya. – BERNAMA