PolitikRencana

Menumpang, buat cara menumpang…

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik Shahbudin Husin menekankan sekali lagi kepada ahli-ahli Umno bahawa parti itu sekadar menumpang kasih dalam Kerajaan Perpaduan ini.

Hal ini katanya susulan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut mengakui situasi sama.

“Selama ini, apabila saya menyebut dalam tulisan saya bahawa Umno hanya menumpang dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, ada beberapa pihak yang marah-marah kepada saya.

“Kata mereka, istilah menumpang itu tidak wajar digunakan kerana Umno dan BN adalah komponen penting dalam kerajaan.

“Malah kata mereka, tiada istilah menumpang kerana kerajaan dibina atas semangat bersama daripada semua parti yang ada,” katanya dalam catatan di blog pada Rabu.

Pun begitu kata Shahbudin, beliau faham semua luahan itu.

“Cuma apa yang saya tekankan ialah agar Umno jangan lebih-lebih dalam menuntut itu dan ini di sebalik keberadaannya dalam kerajaan sekarang.

“Apa juga tuntutan haruslah berpada-pada, apa lagi BN hanya ada 30 kerusi daripada 148 kerusi Parlimen yang menyokong kerajaan.

“Contohnya, menuntut pembebasan Datuk Seri Najib Razak dan waktu yang sama mengancam bahawa Anwar akan jadi Perdana Menteri paling pendek tempoh perkhidmatannya jika tuntutan itu tidak dipenuhi, adalah tidak wajar sama sekali,” tegas beliau.

Shahbudin juga mengingatkan, lebih-lebih lagi kerana dengan sokongan 30 kerusi daripada Umno dan BN itu, kerajaan secara realitinya tidak akan tumbang jika mereka menarik diri atas sebab Najib tidak dibebaskan.

“Nah…sekarang Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sendiri menyatakan Umno hanya menumpang kasih dalam kerajaan ini.

“Kita kena sedar diri dan jangan berperangai seperti ketika kita memerintah dulu,” kata beliau memetik Menteri Pertahanan itu.

Shahbudin mempersoalkan sama ada beliau dan Mohamad akan dimarahi lagi kali ini

“Adakah mereka yang marah-marah dengan saya sebelum ini nak marah kepada Tok Mat kali ini? Soalnya.

Artikel dipetik dari SuaraTV

(Visited 491 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button