Nasionalpilihan

Menteri Pendidikan jangan layan, iktiraf UEC ibarat satu langkah ke belakang

Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mendesak dan mengingatkan kepada Menteri Pendidikan yang bakal dilantik untuk tidak melayan tentang perlaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketuanya, Muhamad Syafiq Ibrahim berpendapat, pengiktirafan UEC adalah tidak wajar dan sangat bercanggah dengan aspirasi Dasar Pendidikan Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

“Tuntutan bagi pengiktirafan UEC tidak pernah habis dan terhenti walaupun berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan yang sentiasa dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Ia boleh menimbulkan keadaan yang mengancam keharmonian terutamanya mengakibatkan jurang semakin besar kepada pelbagai kaum yang disebabkan perbezaan silibus dan bahasa di Malaysia,” katanya.

Muhamad Syafiq berkata demikian dalam satu kenyataan mengulas tindakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sudah mula bersuara dengan tergesa-gesa menuntut kerajaan memberi pengiktirafan UEC dan peruntukan kekal kepada sekolah aliran persendirian.


Tegas Muhamad Syafiq, Dong Zong tidak sepatutnya terlalu rakus menuntut perkara yang sia-sia dan boleh menyebabkan sistem pendidikan negara terganggu.

“Ianya satu langkah kebelakang sebenarnya jika pengiktirafan ini berlaku. Adalah lebih wajib jika sistem pendidikan itu disatukan dengan satu aliran sahaja.

“Sudah pasti perpaduan kaum di Malaysia ini akan lebih baik dan terjamin bagi generasi mendatang,” katanya.

Pada padangan Muhamad Syafiq, Menteri Pendidikan harus mengkaji semula dan mengambil kira perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan kedaulatan negara dalam membuat keputusan.

Satu agenda utama, Menteri Pendidikan harus sentiasa memperkasakan dan fokus menambahbaik sistem institusi pendidikan negara yang sedia ada adalah lebih baik.

“Wira PERKASA mengingatkan kepada golongan ahli politik yang bersembunyi di sebalik isu pengiktirafan UEC, jangan amalkan cara berpolitik sempit yang politiknya hanya untuk kepentingan peribadi.

“Jangan amalkan cara berpolitik sempit tanpa mengambil kira dan memikirkan tentang tanah air dan kesannya kepada generasi akan datang. Jangan kerana orang politik, Dasar Pendidikan Negara menjadi mundur,” katanya.

Wira Perkasa melihat sudah sampai masanya untuk negara mengamalkan sistem ‘Satu Aliran Pendidikan Kebangsaan’ sahaja.

“‘Satu Aliran Pendidikan Kebangsaan’ mampu mengutamakan pengkhususan yang menyatukan semua bangsa selain dapat diseragam serta disepadukan dengan baik.

“Tidak lupa juga sentiasa mendaulatkan Bahasa Melayu untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar utama bagi semua masyarakat di Malaysia,” tegasnya.

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button