Politik

Mencari pendidik demi pendidikan

RAMAI dalam kalangan rakyat biasa mengharapkan agar kecelaruan politik yang berlaku dalam negara kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah pun berakhir. Justeru ramai yang mengharapkan kerajaan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal sehingga akhir penggal. Untuk kekal sebagai kerajaan, Anwar tidak boleh membuat kesilapan yang mengundang ‘kebocoran kecil’ membawa padah kepada kerajaannya. 

Bidang pendidikan merupakan bidang yang amat sensitif lagi penting baik di dalam mahupun  luar negara dan ada kalanya ia menjadi penentu kepada keutuhan atau kejatuhan sesebuah kerajaan itu. Sekuat mana pun pengaruh politik, ia tidak harus dibiarkan mendominasi bidang pendidikan yang menjadi tunjang kepada pembangunan generasi akan datang. Terus terang saya katakan bahawa warga pendidik menjadi amat bimbang bahawa negara pada hari ini ketandusan sentuhan para guru dalam bidang politik sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa melantik seorang yang bukan berlatarbelakangkan pendidik untuk mengisi  jawatan Menteri Pendidikan. Tanpa bertujuan memperkecilkan kebolehan YB Fadhlina Sidek jawatan Menteri Pendidikan perlu diisi oleh seorang yang ada pengetahuan tentang guru dan sekolah. Fadhlina sepatutnya diberi tugas lain yang sesuai dengan latarbelakang pendidikannya sebagai seorang peguam. Saya dan ramai guru-guru menjadi lebih khuatir apabila mendengar khabar angin bahawa Maszlee Malik akan diberi peluang untuk mengisi jawatan itu sekali lagi. Maszlee tidak mempunyai latarbelakang sebagai seorang guru sekolah. Oleh kerana itu, beliau banyak mengambil tindakan yang melulu ketika menjadi Menteri Pendidikan satu ketika dahulu. 

Anwar perlu menyelamatkan pendidikan anak-anak generasi ini dengan melantik seorang yang mempunyai pengalaman yang luas di sekolah ketika Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) memasuki fasa yang amat mencabar. Tidak dinafikan bahawa pemimpin politik yang mempunyai ciri-ciri ini ialah Dato’ Seri Mahdzir Khalid. Mahdzir pernah menjadi guru dan pengetua sekolah. Beliau juga pernah menggalas jawatan Menteri Pendidikan dan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang PPPM ini. Melantik Mahdzir akan memberi kelebihan kepada Anwar kerana ia akan mengukuhkan lagi hubungan PH-BN dan kerajaan perpaduan ini kerana Mahdzir Khalid ketika ini merupakan Naib Presiden UMNO.

Ramai yang sedang memerhatikan  isu pendidikan yang dibawa oleh perwakilan PAU yang sedang berlangsung ketika ini. Apakah ada yang menyedari bahawa hampir 500 ribu orang guru sedang mengintai untuk melihat sama ada perwakilan peka dengan permasalahan ini?

(Visited 83 times, 1 visits today)


Show More

Related Articles

Back to top button