fbpx
Politik

Langkah bunuh diri lantik Bung ketuai jentera PRN Sabah

UMNO Sabah kini dilanda krisis perebutan kuasa antara pemimpinnya ketika parti itu sedang melakukan persiapan untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16.
Hanya selepas beberapa jam Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Ketua Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah dan UMNO Sabah, beliau kini terpaksa berdepan tentangan daripada rakan-rakannya sendiri.
RAHMAN DAHLAN
Menganggap pelantikan tersebut sebagai satu penghinaan kepada autonomi Sabah, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Bung Moktar terpalit dengan isu rasuah, justeru pemilihannya akan menyebabkan kekalahan UMNO.
“Seseorang yang menjadi ketua jentera UMNO negeri Sabah mestilah bebas daripada kes rasuah, meletakkan seorang individu yang berdepan dengan masalah mahkamah dan terpaksa turun naik mahkamah dalam kita berkempen menyeru rakyat Sabah undi umno akan memakan diri.
“Tiada parti di dunia yang akan meletakkan seseorang yang mempunyai kes aktif sebagai ketua, ini bunuh diri,” katanya dalam sidang akhbar tergempar di Kuala Lumpur.
Terdahulu hari ini, Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, beberapa keputusan telah diambil untuk berdepan PRU DUN Sabah antaranya Bung Moktar dilantik sebagai ketua dan UMNO Sabah diberikan autonomi.
Abdul Rahman bagaimanapun berkata, keputusan itu melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2019.
“Ini adalah penghinaan kepada Sabahan, kepada pengundi Sabah dan saya ingatkan UMNO Sabah ada banyak pemimpin yang berkaliber, tetapi meletakkan seseorang yang ada masalah peribadi untuk menerajui jentera pilihan raya itu adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri 11 Ketua UMNO Bahagian dari Sabah dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu.
Rahman yang juga ketua UMNO Bahagian Tuaran mendakwa pemilihan Bung tidak dibincangkan dengan akar umbi di negeri itu sebelum diumumkan.
Abdul Rahman diapit oleh pemimpin UMNO Sabah dari bahagian Putatan, Penampang, Keningau, Beluran, Ranau, Pensiangan, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Batu Sapi dan Sandakan.

Ketua Wanita UMNO Sabah Jainab Ahmad Ayid dan timbalannya Juriah Palasin juga turut hadir. Rahman mendakwa tiada seorangpun di kalangan mereka yang berjaya bertemu dengan Zahid walaupun melakukan perjalanan untuk berjumpanya. Bagaimanapun, beliau menggesa presiden UMNO untuk mempertimbangkan pandangan mereka mengenai perkara itu. Ketika ditanya sekiranya kumpulan itu akan menarik sokongan daripada parti sekiranya Bung dikekalkan, Rahman berkata mereka akan tetap memastikan parti itu menang. “Kami tidak akan meninggalkan UMNO,” katanya.

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button