CelotehHiburanPolitik

Kritikan Sosial Yang Pernah Wujud Dalam Filem Senario Lang Buana Jadi Perhatian Semula

Apabila menyebut nama kumpulan pelawak Senario, pastinya generasi yang membesar pada tahun 90-an terbayang akan aksi serta dialog lucu daripada anggota kumpulan ini.

Antara yang menjadi perhatian semula ketika ini adalah gelagat anggota kumpulan Senario yang beraksi dalam filem Senario Lang Buana, arahan pengarah tershohor, Mamat Khalid.

Hal ini kerana filem Senario Lang Buana itu ditayangkan semula di saluran Netflix Malaysia serta muncul sebagai top movies dan ditonton semula berulang kali oleh peminat Senario.

Walaupun kualiti gambarnya sudah kurang memuaskan kerana diterbitkan pada tahun 2003, namun mesej yang disampaikan oleh Mamat Khalid kekal relavan sehingga ke hari ini.

Antara kritikan sosial yang pernah wujud dalam filem Lang Buana tetapi tidak disedari oleh generasi 90-an kerana mungkin pada masa itu masih kanak-kanak atau remaja adalah :

Wujud Golongan Kenamaan Yang Kurang Gemar Bermegah-Megah

Watak ini dibawa oleh Azlee Jaafar sebagai Bercabang yang merupakan anak raja tetapi berperwatakan seperti orang biasa dan suka merantau ke pelbagai tempat.

Dengan cara itu, Bercabang lebih mudah didekati oleh rakan-rakan seperti Daik (lakonan Wahid Mohd) dan Gunung (lakonan Saiful Apek) walaupun dikejar Orang Kaya Seri Bentan (lakonan Shamsul Ghau Ghau).

Namun setelah berjaya mengalah musuh kota Lang Buana dan ‘dikantoikan’ ayahanda sendiri (juga lakonan Azlee Jaafar), penerimaan dan rasa hormat daripada rakan-rakannya semakin bertambah.

Tidak Percaya Dengan Orang Baharu

Terjadi di mana-mana tempat, orang yang sudah lama mendiami sesuatu kawasan itu rasa diri mereka lebih bagus dan berpengalaman.

Apabila datang sahaja orang baharu, golongan ini akan diperkecil-kecilkan dengan pelbagai alasan seperti tidak berkelayakan dan mengapa harus beri peluang kepada orang luar.

Namun setelah berjaya menunjukkan kemampuan sebenar, barulah masing-masing nak terdiam dan seperti biasa, u-turn apabila termalu sendiri.

Kaya Dengan Menindas Orang Lain

Watak Orang Kaya Seri Bentan sangat menepati perangai buruk ini dan ia ternyata wujud dari generasi ke generasi dalam anggota masyarakat kita pada hari ini.

Orang Kaya Seri Bentan ini dikategorikan mempunyai duit yang sangat banyak tetapi kedekut yang amat. Nak bayar gaji kepada hamba pun berkira-kira. Sangat ciput.

Jika tidak dapat bahagiannya, dicarinya sampai ke lubang cacing. Sudahlah kedekut, berkawan pula dengan penjajah yang merancang untuk menjajah.

Pertelingkahan Politik, Agama Dan Bangsa

Sekali tengok, sebiji macam Mamat Khalid kritik parti politik Pas serta UMNO. Babak ini dapat dilihat semasa Bercabang membawa Dato’ Merewang (lakonan Kuswadinata) bertemu Abang Haji (lakonan M. Rajoli).

Mana tidaknya, kumpulan Abang Haji yang memperjuangkan undang-undang Islam melabelkan penduduk kota Lang Buana sebagai kafir.

Namun diperdebatkan semula oleh Dato’ Merewang bahawa penyatuan Melayu Islam itu bukan dengan memutuskan silaturahim walau berbeza pandangan.

Mujur pada penghujungnya, kumpulan Abang Haji sama-sama turun ke kota Lang Buana bagi membantu perjuangan Dato’ Merewang.

Dari sini kita dapat simpulkan bahawa walau bergaduh macam mana sekali pun orang-orang Melayu beragama Islam itu pada penghujungnya, kita pasti dapat bersatu.

Sanggup Bersekongkol Dengan Orang Luar Untuk Dapatkan Kuasa

Menerusi watak Kiambang (lakonan Lan Pet Pet), dia bersungguh-sungguh mencadangkan untuk mendapatkan bantuan daripada pihak luar.

Walaupun hasratnya untuk memenangi perjuangan kota Lang Buana, secara tidak sedar jika berhasil, Kiambang ibarat menjual maruah kota Lang Buana.

Mujurlah Dato’ Merewang teguh menolak dan mengutamakan orang-orang Melayu iaitu Bercabang, Daik dan Gunung mengetuai misi perperangan.

Hasilnya.. kemenangan tetap berpihak kepada orang-orang serumpun yang sanggup bersatu serta mereka yang menghargai jasa Tanah Melayu.

Sebenarnya terdapat banyak lagi kritikal sosial yang ada dalam filem Senario Lang Buana ini. Cuma hanya ini dapat disenaraikan dan lain-lain? Tonton dan carilah sendiri!

(Visited 3,201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button