Politik

Usul gantung Wan Saiful enam bulan ditarik balik

USUL pergantungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan selama enam bulan ditarik balik selepas beliau membuat permohonan maaf.

Ini berikutan kenyataan “korup dan salah guna kuasa” yang diungkapkan beliau di Dewan Rakyat pada minggu lepas.

Menurut Wan Saiful, beliau telah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf pada 29 Februari lepas, namun sekali lagi berbuat demikian di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambah Wan Saiful, beliau mengaku mengeluarkan kenyataan tersebut dan turut mengaku bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ayat itu memang saya tujukan kepada Yang Berhormat Tambun.
“Jadi, seperti mana saya lakukan pada 28 Februari dan saya ulang sekali lagi pada 29 Februari, apabila ditimbulkan Jelutong (RSN Rayer) saya menarik balik ayat tersebut, menarik balik kenyataan saya dan saya memohon maaf atas kenyataan tersebut.
“Saya dengan rendah diri juga, sebab dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong, atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong.
“Saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Saya harap boleh dipertimbangkan dengan baik oleh Yang Dipertua,” katanya.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian berkata: “Ini bermaksud Yang Berhormat telah memohon maaf kepada Tambun dan tarik balik kenyataan itu.
“Kedua, Yang Berhormat telah memohon keampunan kepada Duli Yang Maha Mulia kerana telah menyebut…untuk itu saya terima.
“Menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf telah dibuat secara terbuka dan saya harap menteri boleh menerima keadaan ini,” kata Johari. – SM
(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button