Nasional

KPDNHEP, MAFI pantau rapi isu kenaikan harga ayam

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September 2021 yang lalu sehingga harga di peringkat runcit melebihi RM10.00 sekilogram di beberapa kawasan di seluruh negara.

Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, pada 13 September 2021, sebanyak 98 premis runcit (14.58%) yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10.00/kilogram.

Berikutan itu, KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.

“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September yang lalu dan trend ini dijangka akan terus menunjukkan penurunan sekaligus dapat menstabilkan harga ayam di pasaran.

“Setakat 20 September 2021, hanya 10 premis (1.74%) masih menjual ayam pada harga melebihi RM10.00/kilogram,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Menurut mereka lagi, walaupun harga ayam ketika ini kembali terkawal hasil pendekatan ini, KPDNHEP dan MAFI bersetuju agar usaha untuk menstabilkan harga ayam ini dilakukan secara sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan diteruskan supaya isu harga ayam dapat di atasi secara holistik.

Berikutan itu, KPDNHEP dan MAFI semalam telah mengadakan satu mesyuarat bersama bagi meneliti beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu harga ayam ini.

Untuk rekod, mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid, Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dan Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua Kementerian.

Mesyuarat dimaklumkan, melalui sesi libat urus yang telah dilakukan oleh KPDNHEP dan MAFI bersama pihak industri di seluruh negara, pihak industri bersetuju menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar/ladang.

Langkah ini diorak supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan sekaligus membantu pengguna untuk menikmati harga ayam pada harga yang berpatutan.

Katanya lagi, hasil daripada perbincangan yang diadakan semalam, kedua-dua Kementerian bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha untuk menstabilkan harga ayam.

“Antaranya, pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi.

“Dan menangani isu peningkatan kos tiga pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport,” jelasnya.

Selain daripada itu, Kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu.

Langkah ini juga dilihat sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam selain cadangan untuk melaksanakan sistem permohonan permit (AP) bagi penjualan ayam sekiranya usaha Kerajaan untuk menangani isu harga ayam ini tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di semua peringkat.

Pihak KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini, tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00 sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/ individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button