Bola SepakSukan

Klopp tolak dakwaan tentang Firmino, selepas Jota ledak hatrik

JURGEN Klopp tidak bersetuju dengan tanggapan segelintir pihak bahawa Roberto Firmino kini merupakan pemain yang hanya memainkan peranan kecil dengan Diogo Jota mengambil tanggungjawab selaku tonggak hadapan utama Liverpool.
Bintang Brazil itu diketepikan daripada kesebelasan utama dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta selepas Jota mempamerkan prestasi cemerlang musim ini.
Firmino mungkin dapat merasai kedudukannya dalam kesebelasan utama kini terancam ekoran persembahan meyakinkan daripada pemain yang baharu ditandatangani Reds itu.
Bekas bintang Wolves itu kini telahpun meledakkan tujuh gol daripada 10 perlawanan dan ramai yang percaya dia sudah bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama secara tetap.
Salah seorang daripada mereka termasuk bekas pertahanan Liverpool, Stephen Warnock yang berpendapat: “Jota kini pemain yang hangat diperkatakan pada ketika ini.
“Memang amat sukar untuk mengetepikannya menjelang perlawanan dengan Manchester City.
“Kelihatannya seperti tidak dapat dielakkan bahawa dia bakal mengisi salah satu tempat dalam posisi hadapan, tetapi dengan Jurgen Klopp, sukar untuk anda buat telahan.”
Namun, jurulatih Reds itu menegaskan bahawa Firmino masih memainkan peranan besar dalam pasukannya.
“Bagi kami amat penting untuk memiliki pemain lebih daripada 11.
“Malam ini (awal pagi tadi waktu Malaysia), Diogo beraksi cukup cemerlang, tetapi tentang Bobby pula tiada apa yang perlu diulas, dan dia juga bukan punca saya pening kepala.
“Saya lebih daripada gembira menyaksikan para pemain beraksi seperti yang dipamerkan mereka malam ini,” katanya.
Firmino adalah pilihan utama Klopp, dia digandingkan dengan Sadio Mane dan Mohamed Salah.
Mereka mencapai kejayaan besar, dengan memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sejak dua musim lalu.
Klopp masih berasa terhutang budi dengan bekas bintang Hoffenheim itu, dan menegaskan, Liverpool tidak akan berada di mana mereka berdiri sekarang tanpa khidmat Firmino.
“Satu persembahan yang baik, tidak membuat saya pening kepala.
“Tetapi kadang kala dunia benar-benar berada pada situasi yang buruk, apabila ada ketikanya seseorang itu menyinar, kita bercakap tentang seorang lagi pemain, dan saya perlu segera menjelaskan mengapa dia berada dalam pasukan.
“Kami tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara jika Bobby Firmino tidak bersama kami. Dia akan berada dalam pasukan dan merupakan salah seorang daripada anggota skuad.
“Ramai orang di dunia bertanya apa yang menjadikan Liverpool istimewa, saya akan menyatakan ia disebabkan Bobby Firmino bermain,” kata Klopp. – Mirror – SM

(Visited 99 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button