Nasional

KPKT rangka strategi perkasa kualiti pihak berkuasa tempatan

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk memperkasa dan mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian  Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui dua strategi utama iaitu memboleh daya modal insan dan menambah baik tadbir urus Kerajaan Tempatan.

MNKT merupakan medium perundingan bagi penggubalan dasar berkaitan hal ehwal Kerajaan Tempatan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri selaras dengan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan-keputusan dasar dan perkara-perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat MNKT akan dibawa untuk perhatian Kerajaan Negeri sebelum ia dilaksanakan di peringkat Kerajaan Tempatan.

MNKT Ke-80 pada hari ini dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof di Bangunan Parlimen.

Sebanyak tujuh kertas telah dibentangkan merangkumi empat kertas pertimbangan dan tiga kertas makluman.

Mesyuarat turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Menteri Besar, EXCO
Kerajaan Negeri, Menteri-Menteri Persekutuan yang berkaitan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan.

MNKT Ke-80 telah menggariskan strategi bagi memboleh daya modal insan melalui penubuhan sebuah jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditempatkan ke PBT yang lain.

Cadangan ini dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertujuan untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan Kerajaan Tempatan melalui peningkatan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti pegawai PBT.

Di bawah strategi yang sama, Profesional JKR diberi penarafan sebagai badan profesional yang mewakili Kerajaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang dibina secara kaedah konvensional dalaman JKR.

Ia juga bertujuan menambah baik aspek keselamatan supaya semua bangunan Kerajaan yang terlibat akan
mempunyai CCC dan seterusnya memenuhi prasyarat bagi memperoleh Sijil Perakuan Bomba serta dapat diinsuranskan.

Bagi strategi penambahbaikan proses dan prosedur di peringkat Kerajaan Tempatan, inisiatif Penambahbaikan dan Pengukuhan Kecekapan Proses dan Prosedur OSC 3.0 Plus dan Kelulusan Pelan Pemajuan akan dilaksanakan bagi memendekkan tempoh kelulusan Pelan Pemajuan serta Kebenaran Merancang.

Selain itu, mesyuarat juga telah bersetuju dengan Cadangan Pindaan Jadual Kedua, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi membolehkan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan di kawasan pemajuan berstrata turut dilaksanakan berasaskan norma baharu iaitu secara dalam talian sepenuhnya atau secara dalam talian dan secara bersemuka (hybrid)
mengikut tatacara dan kaedah pelaksanaan yang digariskan.

Pelaksanaan ini diharapkan dapat memberi kemudahan atau pilihan kepada pihak pemaju, Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body – JMB) dan Perbadanan Pengurusan (Management Corporation – MC) dalam memenuhi keperluan Akta 757 serta melindungi hak komuniti strata.

Kerajaan pada hari ini melalui Kementerian Kerja Raya turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme pemantauan kualiti pembinaan di samping menambah baik mekanisme pemantauan sedia ada Sistem Binaan Berindustri [Industrilised Building System (IBS)] melalui Cadangan Pengukuhan Mekanisme Pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri Dalam Industri Pembinaan bagi Sektor Swasta yang menekankan penetapan 70 skor IBS.

Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum berhubung Garis Panduan Taman Eko Sisa yang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan dan rujukan oleh Pihak Berkuasa Negeri / Pihak Berkuasa Tempatan bagi mempertimbang permohonan berkaitan pembangunan Taman Eko Sisa dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif ke arah ekonomi kitaran.

Mesyuarat turut mengambil maklum Prosedur Pemotongan Bekalan Elektrik ke atas Premis yang Melanggar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Prosedur ini akan membolehkan pihak PBT menutup bekalan elektrik bagi mengekang atau mengurangkan aktiviti di premis-premis yang melakukan kesalahan di bawah Akta 171 atau Akta 172.

Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama bagi memastikan dasar, perundangan dan hal ehwal mengenai kerajaan tempatan ditambah baik seterusnya meningkatkan elemen daya huni demi kesejahteraan komuniti.

Kesemua perkara yang telah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat MNKT kali ini akan dapat membantu usaha Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam pemerkasaan PBT dan meningkatkan tahap  erkhidmatan PBT kepada rakyat. = SM

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button